RM81,670 bantuan disalur kepada PASTI Terengganu

Sesi penyerahan ‘Mock Cheque’ dari Damanhuri kepada Pengarah PASTI Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM81,670 berjaya dikumpul oleh PASTI Malaysia dengan kerjasama PASTI Johor dan Pahang bagi membantu premis serta guru PASTI yang terjejas banjir di negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol berkata, bantuan tersebut adalah hasil daripada skim sumbangan PASTI yang telah lama diwujudkan serta sumbangan dibuat di beberapa negeri.

“Alhamdulillah, hari ini kami hadir bersama beberapa wakil PASTI dari Johor dan Pahang untuk menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada premis PASTI di Terengganu dan guru-guru yang terkesan.

“Bantuan ini adalah hasil kutipan daripada warga PASTI serta ibu bapa pelajar,” katanya ketika ditemui _HarakahDaily_ selepas Majlis Bersama Guru PASTI Terengganu (Mangsa Banjir), di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa ( KOMTAQ) Kampung Batu Enam, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al Syubrawi dan Pengarah PASTI Terengganu, Syamri Abdul Razak dan Pengarah PASTI Negeri Johor, Mohd Fairuz Alias.

Menurut Damanhuri, seramai 62 penerima dari 109 orang yang terlibat banjir terdiri daripada guru di 12 premis PASTI menerima bantuan pada kali ini.

Beliau berkata, bantuan turut diserahkan kepada dua premis PASTI utama yang mengalami kerosakan teruk, iaitu PASTI Al-Ansar di Hulu Terengganu dan PASTI Darul Mujahid di Kuala Berang.

“Premis PASTI pertama kami turun mengalami kerosakan besar akibat banjir dengan paras air melebihi kepala. Maka kita bagi jumlah yang sedikit besarlah supaya dapat menggantikanlah beberapa perabot yang rosak, pintu dan sebagainya, itu yang kami dapat kenal pasti tadi.

“Mudah mudahan sumbangan tersebut dapat membantulah premis tersebut untuk membeli perabot yang baharu untuk meneruskan operasi pasti tersebut.

“Kami menyumbangkan RM1,000 kepada premis ini melalui PASTI Malaysia, selain tambahan sumbangan daripada PASTI Johor, Pahang dan Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada premis ini sekitar RM5,000,” jelasnya.

Beliau berkata, misi bantuan banjir keseluruhan hampir RM100,000 telah disalurkan kepada tiga negeri melibatkan Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Terengganu menjadi destinasi terakhir untuk misi bantuan banjir kali ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelan takaful yang ditawarkan oleh Bank Islam untuk mangsa banjir, Damanhuri menyifatkan ia sebagai satu inisiatif yang baik.

Namun katanya, pihak PASTI tidak menetapkan sebarang keperluan rasmi bagi guru-guru untuk menyertainya.

“Kami mengalu-alukan tawaran tersebut dan mempromosikannya kepada guru-guru PASTI yang berminat, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Skim PASTI yang sedia ada akan terus menjadi keutamaan kami,” tambahnya.

Damanhuri turut mengucapkan terima kasih kepada Bank Islam atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disifatkan sebagai usaha pertama bank tersebut selepas berlaku musibah banjir.

“Kita harapkan ini satu kerjasama yang rintis mungkin untuk kehadapan ini lebih banyak lagi bank yang pernah bekerjasama khususnya Bank Islam untuk melakukan siasah yang samalah di negeri lain insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -