
KUALA TERENGGANU: Jabatan PASTI Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan sumbangan untuk membantu mangsa banjir dalam kalangan guru, murid dan premis PASTI di negeri ini.
Pengarah PASTI Terengganu, Syamri Abdul Razak berkata, antara penyumbang utama ialah PASTI Malaysia (RM39,200), PASTI Johor (RM32,470), PASTI Pahang (RM10,000) dan PASTI Perak (RM6,000).
“Jumlah ini kita akan agihkan kepada 109 guru, 583 murid yang terlibat dalam bencana banjir pada awal Disember lalu dan juga premis yang terjejas kita survey apa keperluan kita akan sumbanglah contohnya rak buku dan yang lain.
“Dua premis PASTI yang mengalami kerosakan juga telah menerima bantuan untuk menggantikan peralatan seperti meja, papan putih dan kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily selepas Majlis Bersama Guru PASTI Terengganu (Mangsa Banjir), di Kompleks Tarbiyyah Darul At Taqwa ( KOMTAQ) Kampung Batu Enam, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol, Pengarah PASTI Negeri Johor, Mohd Fairuz Alias dan Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al Syubrawi.
Kata Syamri, sumbangan turut diberikan kepada murid walaupun jumlahnya mereka mungkin besar.
“Kami akan menyumbangkan sedikit mengikut kemampuan kami untuk menyantuni mereka. Tanda kami ingat,” katanya.
Tambahnya, bagi guru pula, bantuan diberikan dalam bentuk wang tunai yang nilainya bergantung kepada aras kerugian dihadapi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak luar, termasuk Bank Islam, yang menyumbang 200 pek makanan bernilai RM10,000 kepada guru dan murid terlibat.
“Inilah kali pertama pihak luar seperti Bank Islam turut terlibat dalam program CSR bersama PASTI Terengganu,” katanya.
Jelas beliau, semua sumbangan yang diterima akan diagihkan secara menyeluruh tanpa ada sebarang simpanan.
“Duit ini hak milik mereka dan kami akan pastikan ia sampai kepada yang berhak mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Syamri berharap keprihatinan daripada semua pihak ini dapat terus memotivasikan warga PASTI untuk menghadapi cabaran pasca-banjir.
“Alhamdulillah keluarga besar pasti mengucapkan banyak terima kasih kerana keprihatinan dan tanda ingat mereka ini membuatkan kami akan sentiasa kuat walaupun ditimpa musibah banjir seperti ini insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











