
KUALA NERUS: Sebanyak RM10,000 disalurkan Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) dan warga PASTI Pahang kepada warga pendidik PASTI Terengganu dan Kelantan yang terkesan banjir baru-baru ini.
Jumlah tersebut adalah hasil sumbangan yang dikumpul oleh warga pemuda dan PASTI Pahang pada Disember tahun lalu.
Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di Kompleks KOMTAQ, Batu 6, Kuala Nerus, petang semalam.
Seramai 70 orang guru PASTI Terengganu hadir menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Ketua DPPNP, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih.
Majlis penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol yang juga menyampaikan sumbangan dan melawat PASTI terkesan banjir di sekitar Terengganu.
Hadir bersama, Pengarah PASTI Pahang, Khairul Nizam Che Mustofai dan Penolong Setiausaha DPPNP, Hafiz Hazwan.
Di dalam ucapannya Zarimi berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda kebersamaan dan ukhuwah fillah dalam satu jemaah.
Menurutnya, guru PASTI merupakan kumpulan yang mesti dibantu sementelah pengorbanan mereka tidak terkira dalam mendidik anak-anak pewaris perjuangan masa hadapan.
“Semoga dengan sedikit sumbangan yang disalurkan tersebut ujarnya dapat membantu meringankan beban ujian yang ditanggung dan mampu meneruskan khidmat seperti biasa sebagai seorang pendidik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











