‘Premis KPKT bukan milik peribadi Nga Kor Ming’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diberi peringatan untuk sama sekali tidak melibatkan diri dan mencampuri hal ehwal orang Islam di negara ini.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri menegaskan demikian mengulas tindakan Kor Ming yang mengadakan sambutan Krismas di premis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.

“Nga Kor Ming, kami ingin berikan peringatan kepada kamu. Premis KPKT itu bukan milik peribadi kamu. Ini hak milik kerajaan. Di dalam kementerian itu, ada orang Islam yang bekerja di situ.

“Ada pegawai-pegawai orang Islam yang bekerja di situ. Kamu ingat orang suka tindakan kamu,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Manjoi, Perak.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Bangkit Ummah yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar serta Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Tambah Hafez lagi, menteri itu turut dilihat melanggar pelbagai undang-undang dan muzakarah yang melibatkan orang Islam.

“Kamu telah melanggar muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan 2005. Kamu kena tahu jangan sesekali cuba meliberalkan, dan jangan sesekali cuba untuk normalisasikan perkara ini.

“Mata kami memandang kamu pada hari ini. Ini adalah milik rakyat, ini adalah hak rakyat. Duit-duit yang digunakan oleh KPKT adalah semuanya cukai rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025

- Advertisement -