DAP punca tercetus ketegangan, gugat asas negara

Chegubard bercakap kepada media selepas perarakan Himpunan Bangkit Ummah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard mengkritik keras DAP atas disifatkannya tidak menghormati kontrak sosial dan asas kenegaraan Malaysia.

- Advertisement -

Chegubard berkata, DAP telah mencetuskan pelbagai isu yang mengganggu keamanan, termasuk berkaitan status bumiputera dan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kami pernah bekerjasama dengan DAP, tetapi ternyata mereka tidak pernah berubah. Sikap mereka yang tidak menghormati kontrak sosial, hak tanah Melayu dan asas penubuhan Malaysia akhirnya menjadi punca ketegangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perarakan Himpunan Bangkit Ummah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar serta Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz; dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sementara itu, Chegubard yang juga Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), turut mengkritik inisiatif ‘Jom ke Gereja’ pernah tular sebelum ini dan menggunakan dana kerajaan untuk tujuan tertentu.

Beliau berkata, program tersebut melanggar Perlembagaan dan akhirnya dibatalkan setelah mendapat bantahan awam.

“Saya telah difitnah oleh media kerajaan kerana mengkritik program ini, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri terpaksa membatalkannya. Jika program ini tidak salah, mengapa perlu dibatalkan?” katanya.

Oleh demikian, Chegubard menegaskan bahawa beliau tidak pernah bermusuh dengan mana-mana agama atau kaum, tetapi menyalahkan DAP kerana didakwa cuba menghasut dan menggugat keamanan negara.

“Keamanan kita selama ini dijaga melalui kontrak sosial. Namun, DAP cuba merosakkannya dengan agenda mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025

- Advertisement -