
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memecat Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming susulan tindakan tular mereka baru-baru ini yang dilihat telah mengancam bangsa Melayu di negara ini.
Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tindakan Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu telah melanggar ‘garis merah’ di dalam agama Islam.
“Islam adalah agama yang sangat mengutamakan keharmonian. Islam mengajar kepada umatnya berbuat baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya.
“Akan tetapi, Islam meletakkan garis panduan. Ada batasan yang perlu dijaga, ada garis merah yang perlu dijaga dan jangan sampai menyentuh garis merah tersebut.
“Hari ini kita berkumpul dengan tujuan untuk menyatakan kemarahan kita, untuk kita mendesak agar Kerajaan Malaysia memecat Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Bangkit Ummah di pekarangan Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar serta Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Tambah Hanif, tindakan itu adalah penting kerana mereka dilihat telah menggunakan kuasa untuk melibatkan orang Islam di dalam upacara keagamaan lain.
“Mereka menggunakan kuasa mereka, mereka diberikan kuasa okeh rakyat. Akan tetapi, mereka gunakan kuasa tersebut dengan tujuan untuk melibatkan orang Islam dalam upacara keagamaan. Ini adalah satu perkara yang melanggari batasan agama Islam.
“Maka hari ini kita berkumpul ramai-ramai dan sampaikan mesej ini kepada seluruh dunia khususnya kepada umat Islam dan Melayu DAP yang mempertahankan kenyataan DAP walaupun mereka sendiri beragama Islam. Di mana hilangnya jati diri Islam dalam diri mereka?” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











