
PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menyokong gesaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar projek tebatan banjir dan pembasmian kemiskinan tegar disegerakan dan dipercepatkan.
Beliau berkata, peristiwa banjir berulang kali berlaku di negara ini terutama ketika musim tengkujuh telah membawa penderitaan kepada rakyat, kehilangan nyawa dan kerugian ekonomi yang besar.
“Dalam konteks ini, saya menggesa pihak kerajaan untuk segera mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang.
“Projek-projek ini amat penting untuk melindungi keselamatan rakyat, mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan mengatasi kesan buruk terhadap ekonomi negara,” katamya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Justeru, Ustaz Ismi menggesa agar pihak kerajaan dapat memberi keutamaan kepada beberapa langkah penting.
“Pertama, proses perolehan dan kelulusan bagi projek tebatan banjir perlu dipercepatkan tanpa menjejaskan integriti pelaksanaannya.
“Seterusnya, kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan jika diperlukan, bagi memastikan kelancaran projek terutama di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Pihak kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pemantauan yang lebih ketat bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pengenalan terhadap teknologi moden seperti sistem amaran awal dan pendekatan berasaskan ekosistem perlu dimanfaatkan untuk mengurus risiko banjir secara lebih mampan dan berkesan.
Kata beliau lagi, rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kelewatan atau ketidakcekapan dalam pelaksanaan projek-projek penting seperti ini.
Beliau meminta semua pihak berkaitan termasuk kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir.
“Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk terus memperjuangkan isu ini dan memastikan suara rakyat yang terkesan diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan pelaksanaan projek pembangunan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











