
SEPANG: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menyasarkan 500 pendaftaran jemaah haji dan 1,000 pendaftaran umrah sepanjang Karnival Haji 2025 dianjurkan Lembaga Tabung Haji.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, Andalusia adalah antara 37 pengelola jemaah haji (PJH) menawarkan pelbagai pakej menarik dengan diskaun istimewa untuk jemaah haji dan umrah.
Menurutnya, karnival yang dianjurkan bersama kesemua PJH itu menyasarkan penyertaan lebih 20,000 umat Islam sepanjang tiga hari acara berlangsung, bermula hari ini hingga 5 Januari.
“Kami menawarkan diskaun sehingga RM3,000 bagi pakej haji dan RM600 untuk pakej umrah, khususnya bagi musim Ramadan dan Syawal. Tawaran ini hanya sah sepanjang karnival,” katanya kepada media di sebuah hotel, di sini hari ini.
Istimewanya jelas beliau, Andalusia menyediakan pakej haji yang memastikan jemaah terus ditempatkan di hotel berjarak kurang 400 meter dari Masjidil Haram, tanpa transit di Aziziyah.
Ida turut memaklumkan bahawa bimbingan ibadah yang mantap serta sokongan tenaga pengurusan bertauliah menjadi keutamaan Andalusia dalam memberikan pengalaman terbaik kepada jemaah.
“Mereka yang berminat juga boleh mendaftar rayuan haji terus melalui kami untuk dimasukkan ke dalam sistem,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah berkata Andalusia Travel akan terus memberikan komitmen dan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada bakal jemaah haji dan umrah.
Beliau menyifatkan karnival kali ini sebagai platform sihat untuk jemaah memilih pakej terbaik berdasarkan kepercayaan dan pengalaman.
Beliau menjelaskan bahawa syarikat Andalusia secara konsisten mencatat rekod perkhidmatan cemerlang dengan penilaian melebihi 92 peratus oleh Lembaga Tabung Haji.
“Saya selaku orang lama dalam Tabung Haji sampai sekarang 44 tahun, saya amat-amat menitikberatkan tentang hukum-hakam. Di mana saya memberikan bimbingan kepada jemaah ini orang-orang agama yang di bawah saya.
“Jangan sebarang fatwa ataupun pendapat yang dikeluarkan dengan tidak mendapat persetujuan daripada kita disebabkan oleh kecelaruan,” katanya.
Md Daud turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk pilihan penginapan di apartmen berhampiran Mina yang lebih selesa, dilengkapi bilik tidur, makanan, dan tandas peribadi.
“Jemaah kini boleh memilih sama ada ingin bermalam di khemah atau apartmen, tanpa menjejaskan ibadah wajib seperti bermalam di Mina. Keputusan ini memudahkan mereka dan menjadikan pengalaman haji lebih selesa,” tambahnya.
Andalusia juga jelasnya menawarkan sokongan kebajikan seperti bantuan kewangan untuk jemaah yang kehilangan wang, serta pertemuan khas selepas musim haji untuk mendengar maklum balas dan meraikan jemaah.
“Kami ingin mengekalkan hubungan erat dengan jemaah, termasuk menyediakan penghargaan khas seperti hadiah untuk kelahiran atau perkahwinan semasa musim haji,” ujarnya.
Md Daud berharap jemaah terus memilih Andalusia berdasarkan kepercayaan dan perkhidmatan mantap yang telah terbukti. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











