
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa sehebat mana kecerdasan buatan (AI) dicipta, ia tetap tidak mampu menandingi manusia yang dikurniakan akal, jiwa, dan roh oleh Allah SWT.
Beliau berkata, meskipun manusia berjaya mencipta robot dan teknologi AI yang mampu meniru pelbagai tugas seperti memasak, membersihkan rumah, atau bermain catur, ciptaan itu hanyalah alat, bukan makhluk bernyawa.
“Robot dan AI ini bergantung sepenuhnya kepada input manusia. Bagaimana sesuatu yang dicipta boleh melawan pencipta-Nya sendiri?” katanya dalam media sosial miliknya.
Beliau turut menjelaskan kehebatan Allah SWT dalam mencipta manusia daripada setitis mani, menentukan kematian mereka, dan mengurniakan mereka akal serta jiwa yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana ciptaan.
Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu, manusia hanya mampu meniru ciptaan Allah, tetapi tidak akan mencapai keupayaan-Nya.
Beliau memberi contoh permainan catur, di mana AI mungkin mengalahkan manusia kerana diprogramkan dengan gerakan yang telah dirancang, namun keupayaan itu sepenuhnya hasil ajaran manusia.
“(Sehebat mana pun AI) Ini menunjukkan kelebihan tetap berada pada manusia yang memiliki akal dan daya cipta (yang dianugerahkan Allah SWT),” katanya.
Mohd Amar menambah, segala kehebatan teknologi seperti kapal terbang, kapal selam, atau pencapaian angkasa lepas hanya dapat dicapai dengan ilmu dan akal yang dikurniakan oleh Allah.
Oleh itu menurutnya, manusia harus sentiasa menginsafi bahawa kekuasaan sebenar adalah milik Allah.
Beliau turut mengaitkan kehebatan ciptaan manusia dengan analogi pameran lukisan, di mana ada yang memuji lukisan kerana keindahannya tanpa menghayati siapa pelukisnya.
Sebaliknya kata beliau, seseorang yang mencapai hakikat akan melihat kehebatan Allah dalam setiap keindahan di dunia ini.
“Zahirnya, dia (manusia) nampak gunung-ganang, bukit-bukau, pokok-pokok, dan segala isi dunia, tetapi hatinya menyaksikan kehebatan Allah. Semua yang dilihatnya adalah manifestasi kekuasaan dan kebesaran Allah,” katanya lagi.
Mohd Amar menyeru umat Islam untuk melihat keindahan alam sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan mengingatkan bahawa segala ilmu serta kemampuan manusia datang daripada-Nya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025











