
KOTA BHARU: Seramai 5,162 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mula menduduki peperiksaan bertulis di seluruh negeri ini, semalam.
Daripada jumlah tersebut, 2,496 calon adalah pelajar lelaki manakala 2,666 adalah pelajar perempuan dengan peperiksaan berlangsung di 88 pusat peperiksaan melibatkan 10 daerah di negeri ini.
Pelajar wajib mengambil sekurang-kurangnya 9 mata pelajaran yang ditawarkan dan tidak lebih daripada 12 mata pelajaran.
Timbalan Pengarah (Kenaziran) YIK, Sukeri Hussin, menjelaskan, mata pelajaran wajib merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, dan Bahasa Arab.
Manakala mata pelajaran elektif yang diambil ialah Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Perniagaan, Prinsip Perakaunan, Tasawwur Islam dan Sains Rumah Tangga.
Juga Sains Komputer, Grafik Komunikasi Teknikal, Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah, Manhaj Al-Ulum Al-Islamiah, Al-Adab Wa Al-Balaghah, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran.
Menurutnya, mata pelajaran Sains Komputer ditawarkan kepada calon SPM di Maahad Sains Tok Guru (MSTG).
Bagi mata pelajaran Grafik Komunikasi Teknikal pula turut ditawarkan dibeberapa buah sekolah seperti Maahad Amir Indera Petra, Maahad Muhammadi Pasir Mas, Maahad Muhammadi Lelaki (MML) dan Maahad Muhammadi Perempuan (MMP).
Calon SPM di Maahad Tahfiz Al- Quran Darul Saadah pula ditawarkan mata pelajaran khusus iaitu Sains Rumah Tangga.
“Bagi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), pelajar mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) merangkumi mata pelajaran seperti Usul Al-Din, Al-Syariah, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah, Manhaj Al-Ulum Al-Islamiah, dan Al-Adab Wa Al-Balaghah,” tambah Sukeri.
“Bagi pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Al-Kauthar, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran turut menjadi sebahagian kurikulum wajib,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap persiapan rapi calon untuk menghadapi peperiksaan ini dan berharap mereka mencapai keputusan cemerlang yang membanggakan.
“YIK sentiasa komited dalam memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar dan mendoakan kejayaan mereka dalam menghadapi SPM tahun ini,” ujar Sukeri. – HARAKAHDAILY 3/1/2024











