SG4 atasi harga makanan ternakan mahal

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

BESUT: Sejak Kerajaan Empat Negeri (SG4) dicetus pada Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam Oktober 2023 sehingga sekarang banyak usaha dilakukan bagi memperkasakan sektor pertanian di negeri Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Trrengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, SG4 sebelum ini bersetuju mewujudkan kilang mengeluarkan makanan ternakan.

Katanya, bahan bagi menghasilkan makanan ternakan dipastikan daripada sumber tempatan dan bukan diimport.

“Kilang itu dijangka akan dibina di Terengganu atau Kelantan dengan kerjasama pelabur.

“Bahan-bahan bagi menghasilkan makanan ternakan dipastikan daripada produk tempatan daripada SG4 bagi mengelakkan harga makanan ternakan mahal menggunakan bahan import,” katanya di sini.

SG4 dicetus pada Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam pada Oktober 2023. Ia disertai Menteri-Menteri Besar daripada Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan.

Pada 18 September lepas diadakan Sidang Kemuncak SG4 di Bangi Selangor. Turut hadir Panel Penasihat SG4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dr Azman juga berkata, bagi meningkatkan tahap kesuburan tanah pertanian, negeri SG4 disaran menggunakan dolomite yang terdapat di Perlis.

Manakala Terengganu pula memanfaatkan pengalaman dalam sektor perikanan dengan memperkayakan sumbernya melalui usaha melabuhkan tukun tiruan dan unjam ke dalam laut.

“Terengganu juga mewujudkan Tabung Bencana bagi membantu petani dan nelayan yang ditimpa sesuatu bencana,” ujarnya.

Menurutnya juga Konvensyen SG4 dijangka akan diadakan pada 5 Januari ini di Langkawi yang melibatkan pembentangan semua sektor. – HARAKAHDAILY 30/12/2024

- Advertisement -