
BANGI: PAS Kawasan Bangi membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang secara terbuka menganjurkan sambutan Krismas di pejabat kerajaan dan melibatkan penyertaan umat Islam, baru-baru ini.
Ketua Penerangan PAS Bangi, Afiq Khazar berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan Islam, malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan satu kenyataan khusus berkaitan hukum menyambut perayaan agama Kristian.
“JAKIM mengeluarkan kenyataan itu pada 2023 dan kita lihat ini adalah satu keadaan yang disebut sebagai normalisasi kepada sambutan agama Kristian yang semakin mengembang biak dalam masyarakat kita.
“Kita bukannya fobia, melawan, bertentangan atau mengatakan tidak setuju kepada sambutan itu, tetapi sambutan itu dilihat lebih bersifat normalisasi kepada semua kaum termasuk orang Islam itu sendiri.
“Bagi umat Islam kita yakin dan kita faham bahawa sambutan kepada Hari Natal atau Krismas ini merupakan sambutan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam itu sendiri dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada Harakahdaily di Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini tadi.
Beliau berkata, perbuatan yang dibuat oleh Kor Ming itu amatlah tidak sesuai dan merasakan ia amat tidak wajar dan seharusnya menteri itu perlu menjaga sensitiviti umat Islam.
“Sepatutnya (sambutan itu) dibuat di tempat yang lebih tertutup dan kita mengharapkan Menteri yang dilantik oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lebih berhati-hati di masa hadapan.
“Seterusnya kita memastikan bahawa Menteri ini perlu bertanggungjawab tentang perbuatan yang mereka telah buat,” katanya.
Justeru, PAS Bangi menyahut seruan dan yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam akan bangkit untuk menyatakan rasa tidak setuju dan rasa tidak senang hati dengan perbuatan Kor Ming yang jelas mencuba menormalisasikan sambutan itu.
“Kita rakyat Malaysia serius menyatakan tentangan kita kepada perbuatan Menteri daripada DAP ini yang kita lihat semakin hari semakin liar untuk melabelkan khususnya PAS kepada ‘parti ajaran sesat’.
“Beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dan menyeru supaya menteri ini diturunkan serta merta daripada seorang menteri yang tidak bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia pada hari ini,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi Kor Ming yang menuduh PAS sebagai ‘sesat, menyebar ajaran sesat, menunggang agama, merosakkan keharmonian masyarakat dan menyekat sambutan Krismas’.
Oleh demikian, PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kor Ming berhubung kenyataan yang disifatkan sebagai tohmahan dan fitnah terhadap parti itu. – HARAKAHDAILY 30/12/2024











