
SHAH ALAM: PAS Selangor menyifatkan bahawa tindakan DAP yang mentafsirkan agama Islam mengikut ideologi mereka sendiri semakin membimbangkan.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, lebih menyedihkan apabila institusi agama dalam negara seolah ditutup mulut kerana tidak mampu bersuara lantang, bertegas dan memperjelaskan prinsip Islam yang sebenar ketimbang Islam versi DAP.
“Inilah manifestasi kepada jarum halus DAP dalam menjayakan misi ‘Negara Sekular’ dan ‘Malaysian Malaysia’ mereka.
“Persoalan yang paling besar ialah di manakah kuasa politik orang Melayu di saat negara kita berada di persimpangan krisis identiti ini?
“Adakah tiada lagi maruah yang ingin dipertahankan sehingga sanggup berputih mata melihat negara dileburkan ke dalam acuan negara politik DAP?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, jawapan kepada krisis itu hanya satu iaitu Umno, PAS dan Bersatu perlu mengetepikan perbezaan demi mempertahankan maruah Islam, Melayu dan Bumiputera, serta kedaulatan negara.
“Sebenarnya DAP bukanlah satu gergasi parti politik yang kuat, tetapi mereka dilihat kuat dan berkuasa hanya kerana parti Melayu dan Islam sering menjahanamkan antara satu sama lain sehingga tiada lagi sisa kekuatan untuk mempertahankan maruah Islam.
“Begitulah Malaysia rugi disebabkan perpecahan orang Islam di tanah airnya sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2024











