Serangan keji Zionis di Hospital Kamal Adwan

Johan Arif ketika bersama anak anak Gaza di bawah 5 tahun yang selamat dan diberi pendidikan dan Rawatan Pos Trauma oleh NGO tempatan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, Utara Gaza, menjadi sasaran serangan kejam rejim Zionis apabila mendakwa mereka memburu kubu HAMAS yang tidak wujud.

- Advertisement -

Dalam serangan dua hari lepas, para pesakit dilaporkan ditelanjangkan, manakala doktor bertugas diculik sehingga mengorbankan 50 orang awam yang tidak berdosa.

Pengarah i-Reach Malaysia, Johan Ariff Ismail menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Beliau turut menegaskan, pelanggaran terhadap Konvensyen Geneva dan peraturan ICRC oleh Zionis telah berlaku sejak sekian lama.

“Ini adalah bukti jelas bahawa Zionis tidak lagi mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Mereka bertindak lebih jahat daripada Iblis dengan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan,” kata Johan Ariff Ismail ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, serangan ini menambah derita rakyat Palestin yang sudah sekian lama menderita akibat kekejaman Zionis.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak bagi menghentikan kekejaman ini dan memastikan keadilan ditegakkan.

Sementara itu, Johan Arif turut menyeru sokongan terhadap umat Islam di Palestin diteruskan tanpa penghujungnya.

Katanya, mereka mengharapkan doa serta bantuan dari semua pihak di seluruh dunia, termasuk umat Islam di Malaysia.

“Sumbangan serta doa juga diharap dapat disalurkan pada umat Islam  pelarian Palestin yang berjaya melepasi sempadan kerana mereka dalam suasana yang amat getir termasuk kesejukan, kelaparan dan sebagainya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/12/2024

- Advertisement -