
MUAN: Pasukan penyiasat Amerika Syarikat (AS) akan menyertai pihak berkuasa Korea Selatan bagi menyiasat punca pesawat Jeju Air yang terhempas dan terbakar sehingga mengorbankan 179 penumpang.
Boeing 737-800 itu dilaporkan membawa 181 penumpang dalam penerbangan pulang dari Bangkok, Thailand ke Korea Selatan apabila ia terhempas dan mengorbankan semua penumpang kecuali dua anak kapal yang ditarik keluar dari serpihan pesawat.
Pegawai bomba memberitahu, pertembungan dengan burung adalah antara kemungkinan punca nahas yang menyebabkan penumpang terhumban dan pesawat hampir musnah sepenuhnya.
Terdahulu, rakaman video menunjukkan Penerbangan 2216 Jeju Air mendarat dengan gear pendaratan tersekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, disusuli kepulan asap keluar dari enjin sebelum merempuh dinding dan meletup.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS berkata, pihaknya akan mengetuai pasukan penyiasat termasuk dari Boeing dan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk menyertai pegawai di Korea Selatan dalam menyiasat punca nahas.
Negara berkenaan mempunyai rekod keselamatan udara yang baik dan sehingga kini kedua-dua kotak hitam iaitu perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat itu sudah ditemui.
Salah seorang pramugara yang terselamat dilaporkan sedar dan mampu berkomunikasi semalam, namun mengalami patah tulang, manakala anak kapal yang lain, seorang wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan buku lali dan kepala.
“Apabila tersedar, saya sudah diselamatkan,” kata lelaki berusia 33 tahun itu kepada doktor.
Pihak berkuasa berkata, kesemua penumpang adalah warga Korea Selatan selain dua warga Thailand, berusia tiga tahun dan 78 tahun serta sedang berusaha untuk melengkapkan pengecaman semua mangsa.
Beberapa minit sebelum nahas, menara kawalan mengeluarkan amaran serangan burung dan tidak lama selepas amaran dikeluarkan, juruterbang membuat panggilan kecemasan.
Video menunjukkan pesawat itu terbabas dari landasan dan melanggar dinding, bagaimanapun pegawai menolak spekulasi bahawa panjang landasan mungkin menjadi faktor dalam nahas.
Terdahulu, Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tujuh hari, dengan upacara peringatan diadakan di seluruh negara berikutan nahas pesawat itu.
Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat tergempar yang diadakan beberapa jam selepas pesawat penumpang itu terhempas dan meletup di sebuah lapangan terbang Muan, daerah di barat daya Korea Selatan.
“Kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi yang tidak dijangka ini,” kata Choi.
Choi juga telah menetapkan Muan sebagai zon bencana khas, menjadikannya layak untuk menerima sokongan kerajaan.
“Kami akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan untuk usaha pemulihan, sokongan untuk keluarga yang berduka dan rawatan perubatan bagi yang cedera,” katanya.
Pemangku Presiden itu seterusnya mengarahkan agensi berkaitan untuk menggerakkan semua sumber yang ada, termasuk peralatan, kakitangan dan infrastruktur.
Oleh demikian, tragedi itu adalah kemalangan maut pertama dalam sejarah Jeju Air, salah satu syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan, yang ditubuhkan pada 2005.
Sebilangan kemalangan pesawat yang berlaku di seluruh dunia sehingga mengorbankan nyawa adalah akibat serangan burung yang boleh menyebabkan kehilangan kuasa pesawat jika haiwan itu disedut ke dalam salur udara enjin. – AFP/HARAKAHDAILY 30/12/2024












