
ARAU: Tahun 2024 menyaksikan satu lonjakan dalam pembangunan di DUN Guar Sanji dengan peruntukan berjumlah RM1,618,400 yang bertujuan memperkukuh infrastruktur dan meningkatkan kebajikan masyarakat setempat.
Pelbagai projek digerakkan adalah bertujuan bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat di kawasan ini.
Projek utama yang dilaksanakan termasuk menaik taraf prasarana asas seperti penyelenggaraan jalan utama dan pembinaan serta pembaikan jalan kampung agar lebih selamat dan teratur.
Selain itu, pembangunan longkang, surau, dan dewan orang ramai di Kampung Permatang Serdang juga diberi perhatian untuk memudahkan pelbagai aktiviti sosial dan keagamaan.
Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek, tetapi turut mempertingkatkan keselesaan hidup penduduk dalam jangka panjang.
Namun, inisiatif yang lebih menarik adalah dalam aspek kebajikan, dengan RM63,400 disalurkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Bantuan bakul makanan disampaikan kepada 903 penerima, selain bantuan kerusi roda, pampers dewasa dan peruntukan untuk kecemasan mangsa banjir serta ribut.
Program kebajikan ini bukan hanya melibatkan bantuan asas, tetapi juga turut merangkumi sokongan dalam pendidikan dan kesihatan untuk meringankan beban keluarga yang memerlukan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohf Ridzuan Hashim, pelaksanaan projek ini sebagai langkah tepat untuk memastikan masyarakat sentiasa mendapat kemudahan dan sokongan yang diperlukan.
“Harapan kami agar setiap projek ini bukan sahaja menyelesaikan masalah setempat, tetapi turut memberi kesan positif yang lebih besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Melihat kepada impak jangka panjang daripada peruntukan yang disalurkan, DUN Guar Sanji dijangka akan terus berkembang dengan lebih pesat, membawa manfaat kepada penduduk di seluruh kawasan ini.
Namun, kejayaan ini bergantung sepenuhnya kepada kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak agar semua inisiatif ini dapat diteruskan tanpa sebarang halangan. – HARAKAHDAILY 30/12/2024











