
KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menerima kunjungan hormat Timbalan Rektor Universiti Zaitunah, Tunisia, Prof Dr Mohamad Hussin al-Rizqi malam kelmarin.
Pertemuan empat mata ini katanya, diharap dapat membuka ruang strategik untuk perbincangan dan pertukaran pandangan antara institusi pendidikan terulung dunia Islam dan kerajaan Kelantan.
Dato’ Panglima Perang berkata, Universiti Zaitunah yang terkenal sebagai institusi pendidikan tertua di dunia Islam, mempunyai peluang besar untuk menjalin kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan untuk masa hadapan.
Menurut beliau, kerajaan negeri melihat potensi besar dalam memperkukuh modal insan melalui kolaborasi dengan Universiti Zaitunah.
“Saya berharap pertemuan ini dapat membuka peluang dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan modal insan.
“Usaha ini penting untuk melahirkan generasi Rabbani yang berkualiti serta mampu bersaing di peringkat global,” kata Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 29/12/2024












