
SEGAMAT: Pusat Khidmat DUN Gaal akan memperkenalkan teknik penanaman padi hibrid kepada petani.
Bagi menjayakan hasrat itu, ADUN Gaal, Mohd Rodzi Jaafar bersama rombongannya telah mendapatkan penerangan berkaitan teknologi padi berkenaan di Chaah, di sini.
Kata Rodzi, Dr Fung Fwei Chong merupakan pakar terkenal dalam bidang pertanian ini.
Menurutnya, Dr Chong telah memberikan penerangan mendalam mengenai teknologi tersebut.
Menurutnya lagi, tujuan utama program ini diperkenalkan adalah untuk memperkenalkan inovasi terkini dalam penghasilan padi yang lebih tahan lasak dan hasil tinggi.
“Padi hibrid yang diperkenalkan itu berpotensi membawa perubahan besar kepada sektor pertanian tempatan termasuk di Kelantan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut berharap, teknologi ini dapat meningkatkan produktiviti serta pendapatan para petani.
“Inisiatif seperti ini penting untuk memacu pembangunan sektor pertanian luar bandar,” ujarnya lagi.
Jelas Rodzi, hasil penyelidikan Dr Fong, padi hibrid boleh di tanam tanpa air yang banyak dan mampu dituai sehingga lima kali sekali tanam.
Tambahnya, ekoran itu padi jenis ini mampu menjana hasil sebanyak 16 tan untuk setiap satu satu hektar bagi sekali tuaian.
Sementara itu, Dr Chong turut menegaskan, teknologi ini sesuai untuk memenuhi keperluan pertanian moden.
Katanya, program ini diharapkan menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan pertanian di kawasan luar bandar.
“Dengan penglibatan pihak berkepentingan, usaha ini dapat memberikan impak positif jangka panjang kepada ekonomi tempatan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/12/2024











