
KUALA TERENGGANU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu berpendirian bahawa pelaksanaan hukuman sebat di khalayak adalah wajar serta mengikut lunas syariat dan undang-undang.
Pengerusi Majlis Politik Negeri, Muhammad Aiman Mohd Hafiz berkata, usaha yang dilaksanakan oleh mahkamah syariah dilihat sebagai langkah ke depan dalam memperkasakan institusi mahkamah itu khususnya di Terengganu.
“Hukuman yang dikenakan ini bertujuan untuk memberi pengajaran pada yang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
“Kesalahan khalwat adalah kemungkaran yang mesti ditegah dengan tangan dan kuasa bila berkemampuan selaras sabda Rasulullah SAW,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, baru-baru ini.
Oleh demikian, beliau menyeru agar mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara itu lebih-lebih lagi menyalahgunakan frasa ‘hak asasi manusia’ dan ‘hak kebebasan bersuara’ hingga mengenepikan hak Allah SWT yang menurunkan syariat Islam.
“Justeru, membantah hukuman ini atas alasan hak asasi manusia tanpa memahami konteks sebenar berisiko mengelirukan masyarakat tentang keadilan dan rahmat yang terkandung dalam syariah Islam,” katanya.
Terdahulu, hukuman sebat di khalayak ramai terhadap seorang duda berusia 42 tahun pada Jumaat lalu mencatat sejarah baharu dalam usaha Terengganu memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah dan mencegah jenayah khalwat.
Mohd Affendi Awang, seorang tukang rumah dari Kerteh, Kemaman, menjadi individu pertama menjalani hukuman sebatan di khalayak ramai mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Hukuman melibatkan enam sebatan serta denda RM3,000 itu dijalankan ke atas lelaki tersebut setelah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman dalam prosiding pada 20 November lalu. – HARAKAHDAILY 29/12/2024











