
SHAH ALAM: Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim menyifatkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor sepanjang tahun 2024 sebagai gagal mengurus keperluan rakyat dengan berkesan.
Beliau menegaskan, Selangor sebagai negeri yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, memerlukan pentadbiran yang berwibawa dan berkesan.
“Namun, sepanjang tahun 2024, pentadbiran Kerajaan PH di Selangor telah memperlihatkan beberapa kelemahan ketara yang menjejaskan kesejahteraan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Pengurusan banjir yang lemah
Menurut Ustaz Dr Aubidullah, kerajaan negeri gagal menyelesaikan isu banjir kilat yang terus berlaku di banyak kawasan, dengan projek mitigasi banjir mengalami kelewatan serius dan tidak memberikan impak seperti diharapkan.
“Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar pemantauan projek tebatan banjir secara berkala dengan mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan bersama di antara Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang.
“Serta menggerakkan pelan mitigasi banjir yang lebih menyeluruh, termasuk pembangunan semula kawasan sering terjejas,” katanya.
Kelemahan dalam pengurusan ekonomi
Beliau turut menyentuh isu kelembapan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor perindustrian dan teknologi tinggi.
Menurutnya, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dirancang untuk memperkukuhkan ekonomi negeri dilihat gagal mencapai sasaran pelaburan yang ditetapkan.
“Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar diperkenalkan insentif mesra pelabur dengan mengurangkan birokrasi. Serta memberi fokus kepada sektor ekonomi berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan ekonomi digital,” ujar beliau.
Pengurusan GLC tidak efisien
Ustaz Dr Aubidullah juga membangkitkan ketidakcekapan dalam pengurusan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Selgate Corporation, yang dilaporkan mengalami kerugian serta kegagalan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar di struktur semula GLC dengan memastikan kepimpinan diambil alih oleh individu berintegriti dan berpengalaman.
“Kami juga mencadangkan agar dibuat audit berkala dan laporan awam bagi meningkatkan ketelusan. Setiap projek GLC wajib memenuhi keperluan rakyat dan selaras dengan aspirasi negeri,” tegas beliau.
Kegagalan dalam kelestarian alam sekitar
Beliau turut menyentuh isu pembangunan tidak terancang di Selangor yang menimbulkan isu pencemaran air dan tanah semakin membimbangkan.
Pemuda PAS Selangor katanya, mencadangkan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat terhadap pencemaran industri.
Aubidullah mencadangkan supaya Kerajaan Selangor menggalakkan penggunaan teknologi hijau di semua sektor ekonomi serta menambah kawasan hijau untuk memastikan keseimbangan ekologi.
“Pemuda PAS Selangor menyeru rakyat untuk menilai kembali keberkesanan pentadbiran Kerajaan PH Selangor.
“Kami yakin bahawa dengan pentadbiran yang berintegriti, berpandangan jauh, dan berlandaskan prinsip Islam, Selangor boleh menjadi negeri yang benar-benar makmur, sejahtera, dan berdaya tahan.
“Pemuda PAS Selangor akan terus mengkritik yang menyampaikan pandangan yang konstruktif bagi kepentingan rakyat Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/12/2024











