Jika berprinsip patut malu kerjasama dengan DAP

- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka menegaskan bahawa setiap wakil rakyat berhak untuk membuat keputusan politik berdasarkan prinsip dan perjuangan demi kepentingan Islam, rakyat dan negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, tindakan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis meninggalkan Umno sebagai tanda protes terhadap pengkhianatan dilakukan Presidennya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

“Tindakan Jailani sebenarnya menepati prinsip perjuangan yang sebenar setelah seluruh warga Umno hanya berdiam diri apabila Zahid Hamidi melanggar keputusan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang menetapkan bahawa ‘No Anwar, No DAP’.

“Keputusan PAU tersebut hakikatnya menunjukkan penolakan terhadap ideologi dan pendekatan DAP yang sering kali bercanggah dengan prinsip-prinsip perjuangan Melayu dan Islam,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Bilal merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh yang secara terbuka menuduh Jailani sebagai ‘katak’.

Kata-kata Akmal itu susulan perpindahan tempat duduk ADUN Rembia dalam sidang DUN Melaka setelah beliau mengisytiharkan meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

“Tuduhan ‘katak’ hanya merendahkan nilai demokrasi dan mencerminkan kedangkalan dalam memahami landskap politik yang dinamik.

“Tuduhan itu jelas tidak menepati fakta sebenar dan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Jailani itu yang selama ini telah menunjukkan komitmen dan integriti yang tinggi dalam perkhidmatan kepada rakyat khususnya di Rembia,” katanya.

PAS Melaka ingin mengingatkan Akmal Saleh bahawa sekiranya beliau itu benar menjadi seseorang wakil rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan jelas sepatutnya malu kerana bekerjasama dengan DAP.

“Sepatutnya Akmal meninggalkan kerajaan yang bekerjasama dengan DAP ini jika beliau benar-benar berprinsip,” katanya.

Justeru, PAS akan terus komited dengan prinsip perjuangannya dan akan memperjuangkan kepentingan Islam, negara dan rakyat Malaysia tanpa sebarang kompromi. – HARAKAHDAILY 29/12/2024

- Advertisement -