Anwar harus buktikan beliau tidak dicengkam DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

- Advertisement -

Pengarah Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari, Dr Mukhtaruddin Musa  berkata, ia berikutan isu berbangkit daripada dua Menteri itu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, khususnya umat Islam.

Beliau berkata, keputusan mahkamah baru-baru ini yang menolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Musa Hassan, menarik perhatian ramai.

Dalam saman itu menurutnya, Hannah mendakwa Musa Hassan memfitnahnya semasa satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu, apabila beliau merujuk kepada buku autobiografi Hannah, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’.

Beliau berkata, bekas IGP itu membentangkan buku tersebut mengandungi objektif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian dan merosakkan Islam serta negara. 

Mukhtaruddin berkata, mahkamah menolak saman tersebut atas alasan kenyataan Musa Hassan tidak memenuhi elemen fitnah, sekali gus memberi persepsi bahawa dakwaan beliau berasas.

“Penolakan oleh mahkamah atas alasan kenyataan bekas IGP tidak memenuhi elemen fitnah seolah memberi persepsi bahawa apa yang diperkatakan itu adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu ‘Christmas Carolling’ dan sensitiviti agama

Selain itu, Dr Mukhtaruddin turut menegur tindakan Nga Kor Ming yang menganjurkan sambutan Krismas di KPKT termasuk persembahan ‘Christmas Carolling’ yang dihadiri individu berpakaian Muslim. 

“Untuk makluman terdapat fatwa yang mengharamkan penyertaan ‘Christmas Carolling’ kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak.

“Rakyat Malaysia beragama Islam sedar bahawa mereka harus menghormati amalan agama lain, selaras dengan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-818 dan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya. 

Beliau menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3(1) semenjak dari dahulu telah menetapkan Islam adalah agama Persekutuan manakala agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

Manakala jelasnya, rakyat Malaysia juga maklum bahawa Perkara 11(4) turut memperuntukkan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan penganut Islam.

Namun menurutnya, tindakan seperti itu boleh menimbulkan keresahan dan mengganggu keharmonian antara agama yang telah lama terpelihara. 

Perdana Menteri perlu tegas

Dr Mukhtaruddin menyeru Perdana Menteri untuk menasihatkan Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming agar memohon maaf dan meletakkan jawatan.

Katanya, sekiranya mereka enggan, tindakan pemecatan harus diambil bagi membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak tunduk kepada tekanan DAP. 

“PMX harus membuktikan bahawa beliau tidak takut untuk melakukan sesuatu yang memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia beragama Islam, dengan memecat kedua-dua menteri.

“Keputusan mahkamah secara tidak langsung sebenarnya membenarkan pengakuan Hannah Yeoh kerana dalam bukunya sendiri mengaku objektifnya adalah untuk mengembangkan agama Kristian.

“Melalui jawatannya sebagai menteri, kita bimbang ia akan memudahkan niat asalnya yang boleh dilakukan dengan bersembunyi di sebalik jawatan menteri,” tegasnya. 

Menurut beliau, sejarah menunjukkan pemimpin terdahulu seperti bekas Menteri Kesihatan, Abdul Rahman Talib pada tahun 1963, berani meletakkan jawatan selepas tewas dalam saman fitnah ke atas Ahli Parlimen pembangkang, Seenivasagam.

Menurutnya, Hannah Yeoh perlu mencontohi tindakan itu demi menjaga integriti kerajaan. 

“PMX pula harus menambah keyakinan rakyat bahawa beliau tidak dikawal oleh DAP dalam hal ehwal pentadbirannya. Beliau harus memecat Hannah Yeoh demi menjaga integriti kabinetnya yang menjunjung tinggi Perlembagaan,” cadangnya.

Dr Mukhtaruddin turut memetik laporan Madani Research Centre yang menunjukkan populariti Perdana Menteri kini berada pada paras 54 peratus.

“Jika tiada tindakan tegas diambil Pastinya rakyat akan terus percaya bahawa Perdana Menteri sentiasa dibayangi DAP dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya. 

Provokasi tidak diperlukan
 
Mengulas lanjut, Dr Mukhtaruddin menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama memerlukan pemimpin yang menjaga sensitiviti agama dan kaum.

“Sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan, terutamanya terhadap umat Islam, perlu dielakkan,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa sumpah anggota kabinet semasa dilantik adalah untuk memelihara keharmonian dan sensitiviti rakyat.

Oleh itu gesanya, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana menteri yang gagal memahami tanggungjawab itu. 

“Itupun jika Perdana Menteri tidak rela dilabelkan sebagai Perdana Menteri bayangan DAP,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/12/2024

- Advertisement -