Mampu menegah pelaku, memadam jenayah berterusan

Hukuman sebatan syariah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pelaksanaan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai adalah langkah mendidik masyarakat dan menegak hukum yang sejajar dengan perintah Allah SWT.

- Advertisement -

“Hukuman ini termasuk dalam kesalahan takzir. Ia terletak di bawah bidang kuasa negeri dan dilaksanakan mengikut kaedah sebatan syariah yang jauh berbeza dari kaedah sivil.

“Dalam tempoh dua minit, enam sebatan selesai dilaksanakan,” kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat melalui hantaran di media sosialnya.

Ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, hukuman di dalam syariat tidaklah bertujuan untuk mengasari, menyeksa atau mengazab orang yang bersalah seperti yang disangka oleh sebahagian manusia.

Sebaliknya kata beliau, jenayah itulah sebenarnya menghasilkan bahaya yang meruntuhkan struktur masyarakat itu sendiri.

“Adanya hukuman ini akan dapat menegah pelaku jenayah dan mampu memadamkan terus jenayah seumpama itu.

“Kita berharap selepas ini, tiada seorang pun yang dijatuhkan lagi hukuman ini kerana masyarakat sedar kesan buruknya bagi kehidupan mereka dunia dan akhirat,” tegasnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau hairan, masih ada pihak khususnya dari kalangan orang Islam, menjadi penentang sebatan syarak.

Sebaliknya tambah beliau, bisu terhadap sebatan sivil yang lebih mencederakan, menghina serta memalukan kerana mendedahkan aurat dan lebih kejam.

Semalam, seorang pesalah khalwat di Terengganu dikenakan hukuman sebatan dikhalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Terengganu.

Mohd Affendi Awang, seorang tukang rumah dari Kerteh, Kemaman, menjadi individu pertama menjalani hukuman sebatan di khalayak ramai mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, melibatkan enam sebatan serta denda RM3,000.

Sebelum hukuman, pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap beliau yang tiba di masjid dengan kawalan ketat lebih 10 pegawai penjara dan polis. 

“Semoga Allah memberkati negeri Terengganu, kepimpinan dan seluruh rakyatnya serta akan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain,” kata Dato’ Ahmad lagi. – HARAKAHDAILY 28/12/2024

- Advertisement -