Permulaan ke arah mendaulatkan perundangan Islam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara buat kali pertama di Terengganu semalam menandakan satu langkah penting ke arah memartabatkan undang-undang Islam di negeri dan negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Syariah Negeri, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan usaha itu sebagai manifestasi komitmen kerajaan negeri terhadap pelaksanaan hukum Islam secara berperingkat.

Menurut beliau, hukuman sebatan syariah tersebut dikenakan ke atas pesalah khalwat kali ketiga berdasarkan keputusan Mahkamah Syariah.

“Pelaksanaan hukuman takzir di bawah bidang kuasa negeri ini bukan sahaja mencerminkan ketegasan Terengganu dalam melaksanakan undang-undang syariah.

- Advertisement -

“Tetapi juga bertujuan memelihara kesejahteraan masyarakat serta mendidik umat Islam tentang keadilan dan hikmah dalam perundangan Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut ADUN Batu Buruk itu, pelaksanaannya dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang ketat seperti termaktub dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir).

Juga katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diselaraskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh negara, Jabatan Penjara, serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Proses pelaksanaannya juga mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh hukum Islam, termasuk penggunaan alat sebatan yang ringan dan pelaksanaan yang tidak mencederakan fizikal, berbeza dengan sebatan sivil yang dilihat lebih menyeksa pesalah,” jelasnya. 

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang hadir semasa pelaksanaan hukuman sebatan juga tertakluk kepada SOP yang ditetapkan dengan had bilangan dibenarkan hadir adalah seramai 70 orang sahaja, tidak termasuk barisan petugas.

Dr Muhammad Khalil menegaskan, pelaksanaan sebatan syariah di masjid itu perlu ditekuni dengan mendalam kerana ia menitikberatkan prinsip keadilan, kasih sayang dan mendidik, bukan semata-mata menghukum.

“Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik,” katanya. 

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu berharap langkah itu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan undang-undang syariah di negara ini.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk memahami maksud sebenar hukuman itu melalui program pendidikan dan penerangan yang akan dilaksanakan.

“Sokongan rakyat dan semua pihak amat penting untuk memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan harmoni tanpa sebarang salah faham yang boleh mencetuskan polemik.

“Pelaksanaan hukuman sebatan syariah ini merupakan langkah kecil tetapi signifikan ke arah merealisasikan sebuah pentadbiran yang memartabatkan keadilan Islam secara menyeluruh.

“Semoga usaha ini mendapat keredaan Allah SWT dan menjadi titik tolak ke arah masyarakat yang lebih harmoni dan berdisiplin,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/12/2024

- Advertisement -