Tolak agenda ‘negara sekular’ DAP dalam PRU16

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Belianya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, menegaskan bahawa gerakan sekularisme yang cuba dinormalisasi di Malaysia harus ditolak secara tegas.

Kenyataan itu dibuat susulan Sidang Meja Bulat anjuran Gabungan NGO Belia Islam di Lembah Klang semalam, bertemakan ‘Bahaya Ancaman Gerakan Sekularisme di Malaysia’. 

Sidang itu menurutnya menghimpunkan pelbagai NGO belia Islam, termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Ma’ruf Club IIUM.

Ia juga termasuk Belia Gengs Ustaz, Akademi Dakwah Anak Muda, Syabab Care, NGO Khidmat Gombak, Za’ba Institute, Gerakan Pengundi Sedar, dan Kelab Belia Perihatin Kuala Selangor dan lain-lain.

Menurutnya, Penasihat Gabungan NGO Belia Islam Malaysia, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed, membacakan enam resolusi utama hasil sidang tersebut: 

1. Normalisasi ancaman sekularisme

Sidang ini menegaskan bahawa ancaman gerakan sekularisme semakin dinormalisasi dalam kalangan masyarakat dan politik Malaysia dan ini akan memberikan risiko besar kepada kedaualatan, identiti dan maruah Islam dalam negara ini.

2. Penolakan tegas terhadap gerakan sekularisme di Malaysia

Kesatuan NGO Belia Islam Malaysia bertegas menolak sekeras-kerasnya semua gerakan sekularisme di Malaysia serta sekutu-sekutu mereka terutama NGO Sister In Islam (SIS) dan parti DAP yang secara konsisten dalam perjuangan mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

3. Kempen menolak sekularisme

Kesatuan NGO Belia Islam akan menggerakkan kempen berskala besar serta jelajah ke seluruh negara untuk mendidik dan memujuk rakyat Malaysia khususnya pengundi muda Melayu-Islam agar menolak agenda sekularisme yang dibawa oleh mana-mana pihak, khususnya NGO SIS (dalam konteks sosial) dan DAP (dalam konteks politik) dalam PRU ke-16 akan datang.

4. Desakan penyatuan parti Melayu-Islam

Kesatuan NGO Belia Islam mendesak semua parti Melayu-Islam untuk bermuafakat menghadapi PRU ke-16. Penyatuan ini penting untuk menyekat kedudukan serta pengaruh politik agenda negara sekular yang diperjuangkan oleh DAP dan sekutunya.

5. Pendekatan satu lawan satu

Kesatuan NGO Belia Islam juga menggesa agar semua parti Melayu-Islam menggunakan  strategi politik ‘satu lawan satu’ untuk memastikan undi Melayu-Islam tidak pecah dan fokus untuk melawan gerakan sekularisme yang dibawa oleh DAP.

6. Malaysia sebagai negara umat Islam

Kesatuan NGO Belia Islam menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Umat Islam, dan Kerajaan pada hari ini wajib melaksanakan pelan pemerkassaan kedudukan syariat Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dalam kadar yang segera.  

Menurut Muhammad Faizzuddin, resolusi itu adalah seruan bersama untuk melindungi identiti dan kedaulatan Islam di Malaysia daripada ancaman sekularisme.

“Sebarang usaha untuk menyerap nilai-nilai sekularisme dalam sistem negara akan diperangi habis-habisan oleh Kesatuan NGO Belia Islam.

“Kesatuan NGO Belia Islam berikrar untuk terus berusaha secara konsisten dan strategik dalam memastikan Malaysia kekal sebagai negara Islam yang menjunjung syariat dan nilai-nilai Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -