Sebatan syariah: Orang ramai penuhi kawasan masjid

Pesalah, Mohd Affendi Awang, 42, memakai baju oren di bawa masuk dengan wajah memakai pelitup muka tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Suasana di Masjid Al-Muktafi Billah Shah tengah hari ini dipenuhi dengan kesibukan luar biasa apabila ratusan jemaah mula membanjiri kawasan masjid untuk turut mengikuti perkembangan pelaksanaan hukuman sebatan syariah selepas solat Jumaat. 

- Advertisement -

Sejak awal, jalan menuju ke masjid sudah mulai sesak dengan kenderaan dan ruang parkir juga penuh, manakala sebahagian jemaah terpaksa berjalan kaki dari kawasan parkir berhampiran.

Di dalam masjid, ruang solat utama dipenuhi, memaksa jemaah melimpah hingga ke tangga, perkarangan masjid dan lorong-lorong di kawasan parkir motosikal. 

Ketibaan pesalah

Jam 2:29 petang, sebuah konvoi terdiri daripada tiga buah kenderaan penjara Marang tiba di pekarangan masjid, diiringi oleh pegawai penjara.

Pesalah, Mohd Affendi Awang, 42, memakai baju oren dibawa masuk dengan wajah memakai pelitup muka, dikawal ketat oleh pegawai penjara serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Keadaan bertambah hening seketika, dengan jemaah di sekitar pekarangan masjid kelihatan memberikan perhatian penuh terhadap ketibaan tersebut. 

Difahamkan sebelum pelaksanaan hukuman bermula, pemeriksaan kesihatan ke atas pesalah akan dijalankan oleh pegawai perubatan.

Pelaksanaan hukuman ini disaksikan oleh wakil beberapa wakil rakyat, Mahkamah Syariah, PDRM, Jabatan Penjara, pegawai masjid, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pegawai media.

Suasana di pekarangan masjid

Jemaah yang hadir dilihat menunggu dengan penuh perhatian dan ramai kekal di kawasan masjid selepas solat Jumaat, sementara beberapa lain mencari ruang di luar masjid untuk mengikuti suasana berlaku. 

Hukuman sebatan syariah ini dijalankan sebagai pelaksanaan undang-undang Islam yang menuntut keadilan dan keinsafan.

Hari ini, Masjid Al-Muktafi Billah Shah menjadi saksi kepada momen yang jarang berlaku, memberi peringatan kepada masyarakat terhadap pentingnya memahami dan menghormati hukum agama.

Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Affendi, mengaku salah terhadap pertuduhan.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan ketiga yang dilakukan tertuduh.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu. – HARAKAHDAILY 27/12/2024

- Advertisement -