
KUALA TERENGGANU: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presidennya, Muhammad Hariz Md Yusoff menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas, malah bercanggah dengan undang-undang sedia ada dan fakta berkaitan pelaksanaan hukuman itu.
“Sebatan syariah yang dilaksanakan di Terengganu adalah mengikut peruntukan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, khususnya Seksyen 125 yang menetapkan kaedah pelaksanaan sebatan yang berperikemanusiaan kerana alat sebatan yang ringan, diperbuat daripada rotan kecil.
“Kekuatan (yang digunakan) sederhana tanpa mencederakan pesalah. Manakala kawasan yang dibenarkan untuk disebat adalah terhad dan tidak melibatkan bahagian sensitif seperti muka, kepala, perut dan dada,” katanya pada sidang media di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, tindakan pelaksanaan hukuman sebat itu turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2023 (melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2023).
“SOP ini memperuntukkan bahawa lokasi pelaksanaan sebatan boleh dilakukan di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, selagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran. Dalam kes ini, pemilihan lokasi oleh mahkamah adalah mengikut kuasa yang diperuntukkan di dalam SOP.
“Pemeriksaan kesihatan pesalah perlu dilakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan pesalah berada dalam keadaan sihat sebelum hukuman dijalankan.
“Pelaksanaan sebatan dilakukan oleh individu yang terlatih menggunakan alat yang memenuhi piawaian ditetapkan dengan kaedah sebatan yang sederhana tanpa mencederakan kulit atau bahagian badan pesalah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember 2024 telah dibuat dengan mengambil kira semua aspek.
Jelasnya, seperti kesalahan berulang kali oleh pesalah dan bagi memastikan hukuman dijalankan dengan adil, berhemah dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan ini mencerminkan ketelusan proses kehakiman, sekali gus membuktikan bahawa ia bukan sahaja mengikut kehendak undang-undang tetapi juga menepati nilai-nilai murni keadilan Islam yang menitikberatkan ihsan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
PPMM turut menolak dakwaan bahawa pelaksanaan hukuman ini melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
“PPMM ingin menegaskan bahawa sebatan syariah dilaksanakan berlandaskan kuasa Dewan Undangan Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
“Bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman ini telah diperkukuhkan melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
“Justeru, pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan di dalam Dewan Masjid, berpakaian menutup aurat, lebih berperikemanusiaan serta mengikut Hukum Syarak adalah dengan jelas tidak melanggar mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 5,” katanya.
PPMM juga menyangkal tuduhan bahawa sebatan syariah bersifat kejam atau menindas sebaliknya, hukuman itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan mematuhi undang-undang Islam.
“Peruntukan Enakmen 2001 jelas menunjukkan bahawa hukuman ini dilaksanakan dengan penuh adab dan tertib.
“Pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam.
“Tindakan pelaksanaan ini juga memberi mesej jelas mengenai usaha mengekang perlakuan yang bercanggah dengan moral dan etika masyarakat Islam.
“Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa.
“Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2024











