
KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap seorang duda berusia 42 tahun hari ini mencatat sejarah baharu dalam usaha Terengganu memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah dan mencegah jenayah khalwat.
Mohd Affendi Awang, seorang tukang rumah dari Kerteh, Kemaman, menjadi individu pertama menjalani hukuman sebatan di khalayak ramai mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Hukuman melibatkan enam sebatan serta denda RM3,000 itu dijalankan ke atas lelaki tersebut setelah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman dalam prosiding pada 20 November lalu.
Kes Affendi mendapat perhatian kerana dia didapati bersalah melakukan kesalahan khalwat buat kali ketiga dengan kesalahan terbaharu melibatkan seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada 16 Jun lalu, kira-kira jam 1:40 pagi.
Pada Februari lalu, dia juga dijatuhi hukuman empat sebatan di dalam penjara kerana kesalahan serupa di sebuah premis di Jalan Penghiburan, Kemaman.
Dilaksanakan secara tertib di Masjid
Proses pelaksanaan hukuman di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang hari ini berjalan tertib, dengan sebelum hukuman, pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap Affendi yang tiba di masjid dengan kawalan ketat lebih 10 pegawai penjara dan polis.
Affendi tiba pada jam 2:29 petang memakai baju penjara berwarna oren dibawa masuk dengan wajah memakai pelitup muka, dikawal ketat oleh pegawai penjara serta anggota Polis.
Hukuman sebat itu dimulakan pada pukul 2:50 petang oleh seorang pegawai sebat dari Penjara Marang dan diselesaikan dalam tempoh hanya dua minit dengan disaksikan kira-kira 90 individu termasuk wakil Jabatan Kehakiman Syariah, kerajaan negeri, NGO dan media.
Affendi kemudian dibawa keluar dari masjid pada jam 2:55 petang selepas hukuman selesai dan dihantar semula ke Penjara Marang. – HARAKAHDAILY 27/12/2024











