Tak wajar hisap rokok di pentas keagamaan

- Advertisement -

AYER KEROH: Dewan Ulamak PAS Melaka menegaskan bahawa tindakan menjemput individu yang terang-terangan menghisap rokok di atas pentas dalam majlis keagamaan adalah sesuatu amat tidak wajar.

- Advertisement -

Ketua Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis, Zulhilmi Aziz Abdul Hannan, berkata tindakan itu tidak mencerminkan adab dan akhlak yang sepatutnya dipamerkan dalam majlis itu.

“Mengangkat individu yang tidak sesuai dalam konteks majlis seperti ini seolah-olah merendahkan martabat majlis selawat dan majlis ilmu itu sendiri.

“Oleh itu, setiap pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis itu perlu memastikan bahawa individu yang diberi penghormatan untuk naik ke pentas adalah mereka yang mencerminkan ajaran Islam dalam akhlak dan tingkah laku mereka.

“Tabiat merokok bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi mencemarkan suasana kemuliaan majlis itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Zulhilmi berkata, majlis itu seharusnya menjadi platform untuk menonjolkan ulama, asatizah dan ilmuan yang berilmu serta berakhlak mulia dan menjadi contoh kepada masyarakat.

“Dakwah bukan sekadar menyampaikan kata-kata yang indah, tetapi ia adalah usaha untuk memperbaiki jiwa dan masyarakat yang sepatutnya membimbing ke arah kebaikan, bukan sekadar menjadi tontonan atau hiburan kosong,” katanya.

Oleh demikian, beliau berkata, majlis selawat dan majlis ilmu adalah wadah penting untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Justeru, kedua-duanya harus dipelihara kesuciannya dengan menampilkan individu yang berakhlak dan berilmu. Jangan biarkan majlis yang penuh keberkatan ini dicemari oleh tindakan yang boleh menjejaskan kehormatan dan matlamat asal.

“Semoga kedua-dua majlis ini terus menjadi medan tarbiyah yang menyuburkan cinta kepada Rasulullah SAW dan memperkukuh iman dalam diri setiap Muslim,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -