38 disahkan maut nahas Azerbaijan Airlines

Anggota kecemasan bekerja di lokasi nahas Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau, barat Kazakhstan semalam.
- Advertisement -

ASTANA: Seramai 29 penumpang terselamat selepas pesawat Azerbaijan Airlines terbakar ketika ia terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, setelah dilencongkan beratus-ratus kilometer dari laluan sepatutnya, lapor akhbar The Guardian semalam.

- Advertisement -

Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan lima anak kapal, dengan 38 terbunuh dalam nahas tersebut, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev.

Pihak berkuasa Kazakhstan berkata, mangsa yang selamat termasuk dua kanak-kanak, sedang dirawat di hospital berdekatan dan Kementerian Luar Azerbaijan menjelaskan, sebilangan mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Pesawat itu dalam perjalanan dari ibu kota Azerbaijan, Baku, ke bandar Russia, Grozny di Chechnya.

Penilaian awal menunjukkan bahawa kedua-dua juruterbang meninggal dunia dalam nahas itu, lapor agensi berita Rusia, Interfax.

Pesawat itu terhempas beratus-ratus kilometer dari laluan dijadualkan di pantai bertentangan Laut Caspian, selepas dikatakan oleh badan pemerhati penerbangan Russia sebagai kecemasan yang mungkin disebabkan oleh pertembungan dengan burung.

Pegawai tidak menjelaskan mengapa pesawat itu menyeberangi laut, tetapi agensi berita Reuters menyatakan bahawa nahas tersebut berlaku sejurus selepas serangan dron melanda selatan Russia.

Pendakwa raya pengangkutan utama Kazakhstan, Timur Suleimenov memberitahu taklimat di Astana bahawa kotak hitam pesawat tersebut telah ditemui, lapor Interfax.

Azerbaijan Airlines merupakan syarikat penerbangan negara itu berkata, pesawat Embraer 190 tersebut telah melakukan pendaratan cemas kira-kira 3 kilometer dari Aktau yang merupakan hab minyak dan gas di pantai timur Laut Caspian.

Ujarnya, menurut maklumat awal, mereka yang berada di atas penerbangan itu termasuk 37 warga Azerbaijan, 16 rakyat Russia, enam warga Kazakhstan dan tiga rakyat Kyrgyzstan.

Beberapa jam selepas nahas itu, Pejabat Pendakwa Raya Azerbaijan berkata, ia telah membuka kertas siasatan jenayah. – AGENSI / HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -