
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) telah melancarkan Pakej Haji Andalusia 1446H/2025M yang telah dibuka tempahan dengan harga serendah RM43,990.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che’ Ngah menyatakan kesyukuran kerana Andalusia sekali lagi diberi kepercayaan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mengendalikan jemaah haji bagi tahun ke-17 berturut-turut.
“Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Andalusia terus menerima lesen untuk mengendalikan pakej haji.
“Ini membuktikan bahawa komitmen kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah mengikut citarasa pilihan mereka,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Pakej Haji 1446 di Ibu Pejabat Andalusia, Kampung Pandan, di sini semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin dan Pengarah Pemasaran Digital Andalusia, Izzati Ibrahim serta Pengurus Pelancongan Muslim, Wan Norasikin Wan Ibrahim.
Juga Pengurus Akaun dan Audit, Ili Fatin Ibrahim dan Pengurus Operasi Umrah, Norrul Balqes Abu Baker serta Pengurus B2B dan Tiket, Yazid Mohamed dan wakil-wakil anak syarikat Andalusia.
Md Daud berkata, pemilihan jemaah haji adalah berdasarkan sistem automatik yang dikawal sepenuhnya oleh Tabung Haji mengikut peraturan telah ditetapkan.
“Haji berbeza dengan umrah kerana ia mempunyai tempoh masa tertentu dan perlu mematuhi peraturan ketat. Sistem pemilihan ini dijalankan secara telus dan adil melalui komputer,” katanya.
Beliau memberitahu, agensi diberi lesen termasuk Andalusia hanya boleh membawa jemaah yang telah dipilih oleh Tabung Haji.
Walau bagaimanapun ujarnya, jemaah yang ingin menggunakan khidmat agensi perlu memohon dan menunggu kuota tambahan disediakan.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa semua agensi haji berlesen tertakluk kepada pemantauan Tabung Haji bagi memastikan kualiti perkhidmatan.
“Tabung Haji memantau setiap peringkat, termasuk proses pendaftaran, pengurusan pemergian jemaah, penginapan dan bimbingan sepanjang ibadah haji.
“Kami memastikan semua pegawai petugas dan mutawif berpengalaman untuk memberikan keselesaan kepada jemaah,” katanya.
Justeru, beliau berharap pelancaran pakej ini dapat membantu para jemaah membuat pilihan tepat dan menikmati pengalaman ibadah yang bermakna. – HARAKAHDAILY 24/12/2024











