Andalusia tawar empat pakej haji 1446H/2025M

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che' Ngah ketika sidang media selepas majlis pelancaran Pakej Haji Andalusia 1446H/2025 di Ibu Pejabat Andalusia, Kampung Pandan, di sini semalam. (FOTO: HARAKAHDAILY/Amirun Izzat Amran)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) memperkenalkan pakej baharu bagi musim haji 1446H/2025M yang menawarkan pilihan mampu milik bermula serendah RM43,990 hingga RM102,990.

- Advertisement -

Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Md Daud Che’ Ngah berkata, pakej Marsa yang dilancarkan buat pertama kali tahun ini melengkapkan tiga pakej sedia ada iaitu Malak, Olayan dan Safwah, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah haji.

“Ini kerana kebetulan kita mendapat hotel yang ditawarkan pada harga mampu milik,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran Pakej Haji Andalusia 1446H/2025 di Ibu Pejabat Andalusia, Kampung Pandan, di sini semalam.

Md Daud berkata, pakej baharu itu juga menyediakan tiga jenis bilik dan jarak hotel yang strategik sejauh 310 meter (m) dari Masjidil Haram serta perkhidmatan termasuk bimbingan haji, makanan dan persiapan lengkap di Arafah dan Mina.

“Selain itu, pakej Malak juga menyediakan tiga jenis bilik dan 470m ke Masjidil Ha­ram, Olayan terletak 220m dari Masjidil Ha­ram dengan empat jenis bilik dan Safwah pula terletak 50m dari Masjidil Ha­ram dengan empat jenis bilik,” katanya.

Beliau berkata, harga pakej haji Andalusia tahun ini lebih rendah berbanding musim lalu, meskipun kos pengendalian meningkat.

“Tahun lepas kadar terendah kita RM44,900 tetapi sekarang ini jadi RM43,990, kira-kira lima peratus lebih rendah berbanding tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana mahu mengekalkan kemampuan rakyat tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan.

Justeru, beliau menyarankan bakal jemaah untuk membuat pendaftaran awal kerana diskaun istimewa bagi jemaah terpilih (P1) turut ditawarkan bergantung kepada pakej iaitu diskaun RM1,500 seorang (Marsa dan Malak); RM2,000 (Olayan); dan RM3,000 (Safwah).

Katanya, bakal jemaah yang tergolong dalam kategori P1 mempunyai keutamaan untuk memilih pakej haji yang ditawarkan.

“Jemaah kategori P1 ialah mereka yang telah menerima tawaran subsidi B40 atau M40 dari Tabung Haji tetapi memilih untuk tidak mengikuti pakej muassasah. Mereka berpeluang mendaftar dengan agensi seperti kami untuk mendapatkan perkhidmatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata, selepas kuota P1 dipenuhi, maka peluang seterusnya diberikan kepada jemaah yang membuat rayuan melalui sistem THiJARI.

“Bagi mereka yang tidak berada dalam kategori P1 tetapi ingin mengerjakan haji tahun ini, mereka perlu membuat permohonan rayuan di THiJARI. Kemudian nama mereka akan diserahkan kepada kami untuk diproses setelah kuota tambahan diluluskan oleh Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjangkakan lebih 1,000 jemaah akan dibawa tahun ini tertakluk kepada kelulusan kuota oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan pendaftaran bagi semua pakej itu telah dibuka dan bakal berakhir selepas Ramadan tahun hadapan.

Terdahulu, Andalusia telah menguruskan seramai 701 jemaah pada musim haji lalu. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

- Advertisement -