Sinikal jualan MAHB sebagai ‘urus niaga hitam putih’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengulas perkembangan terkini tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang dimuktamadkan dengan harga RM11 sesaham.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun ada suara yang membantah, termasuk dalam kalangan ahli lembaga pengarah, namun suara bersetuju lebih dominan, termasuk dalam kalangan pelobi dan penguasa di Putrajaya.

“Jika dipersetujui, pegangan saham MAHB akan berpindah-milik secara ‘hitam putih’. Walhasil, pengendalian 39 lapangan terbang negara yang amat strategik, akan berpindah tangan kepada pihak ‘berhati hitam dan berhati putih’

“(Sedangkan) MAHB, syarikat pengendali lapangan terbang seluruh negara yang amat strategik, mencatat keuntungan walau berdepan cabaran; KLIA adalah permata utamanya,” ujar beliau.

Setiausaha Politik Presiden PAS itu berkata, implikasinya daripada penjualan tersebut akan menyebabkan segala, pelaburan, keuntungan, data maklumat dan strategi di masa depan, akan dikongsi dengan konsortium tempatan dan luar negara.

Beliau menyatakan betapa terkenang sejarah kehilangan Batu Putih yang dahulunya menara kapal laut terlepas di kepulauan Batu Putih, tetapi hari ini, menara kapal terbang bakal terlepas di tangan Batu Hitam.

Kata-kata tersirat beliau itu dipercayai cuba mengaitkan sejarah Pulau Batu Putih di lautan itu dengan kedaulatan udara negara yang akan mengulangi nasib sama apabila saham tersebut dimiliki syarikat BlackRock atau terjemahannya ‘Batu Hitam’ seperti ditulisnya.

“Jangan sampai kita berputih mata. Dijajah, dijarah. Malaysia, belajarlah dari sejarah,” peringat beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS. – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -