
SHAH ALAM: Menyedari kesusahan yang dialami mangsa banjir, Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor telah menyerahkan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas di Pantai Timur.
Skuad Prihatin Muslimat PAS Selangor telah menyerahkan sumbangan tersebut melalui Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan kepada Ketua Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam serta ADUN Ladang, Zuraida Md Noor.
“Alhamdulillah, hasil daripada keprihatinan dan sokongan masyarakat, Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor berjaya menyerahkan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa yang terjejas di Pantai Timur.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dan mendoakan kelancaran misi ini. Semoga usaha ini menjadi tanda kasih sayang kita sesama umat dan diganjari dengan kebaikan yang berlipat ganda oleh Allah SWT.
“Kami mengajak semua untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan demi meringankan beban mereka yang memerlukan. Setiap sumbangan anda, walaupun kecil, amat besar maknanya buat mereka yang sedang diuji,” katanya menerusi kenyataan itu.
Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Dewan Kebajikan Muslimat Selangor dengan nombor 12083010031760.
“Marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk menyumbang ke arah kebajikan dan mendapatkan ganjaran akhirat. Semoga Allah melimpahkan keberkatan dan rahmat kepada kita semua,” tambah kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 23/12/2024











