
KISAH menyayat hati dilalui oleh Mahmud Sukkar adalah satu dari ribuan kisah duka penduduk Gaza yang saban hari diburu oleh pengganas Zionis. Beliau satu-satunya anggota keluarga yang tinggal setelah kesemua 17 orang terbunuh dalam serangan Israel di Khan Yunus.
“Ia bukan mimpi. Ia berlaku hanya setengah jam selepas saya keluar dari rumah. Semua mereka syahid. Ibu, ayah, datuk, adik beradik dan sepupu saya semua dibunuh. Hanya tinggal saya sahaja yang terselamat.”
Dalam kejadian yang berlaku pada 23 Oktober lalu, tentera Israel mengebom rumah dua tingkat milik keluarganya.
Rakannya bergegas memberitahunya kejadian itu. Dia tidak sampai hati hendak memberitahu kematian semua ahli keluarganya. Lalu mengajak Mahmud segera ke hospital untuk melihat ahli keluarga yang ‘cedera.’
Sukar untuknya menerima khabar itu. Mahmud bergegas ke hospital.
“Tiba di hospital, alangkah terkejutnya apabila saya dapati jenazah semua ahli keluarga saya terbaring bersusun sebelah menyebelah antara satu sama lain.”
Mahmud menceritakan kisah malangnya dengan linangan air mata sambil memegang sijil kesyahidan ahli keluarganya.
“Sekarang saya bersendirian dalam khemah di Zuwaidah.” Khemah yang tidak mampu melindungi kepanasan di musim panas. Juga tidak dapat menahan sejuk di musim dingin.
Kisah Mahmud Sukkar bukanlah satu-satunya tragedi di Gaza. Bahkan daerah ini merakam ribuan kisah seumpama ini sejak 442 hari lalu.
Lebih dari itu, sebanyak 1,413 buah keluarga telah dihapuskan sama sekali tanpa meninggalkan walau seorang waris.
Pemusnahan 1,413 keluarga itu membabitkan pembunuhan terhadap semua anggota keluarga seramai 5,455 orang.
Keluarga Mahmud dikira beruntung kerana ada seorang wakil ahli keluarga yang masih hidup.
Mahmud termasuk dalam kategori 3,467 keluarga yang hanya tinggal seorang anggota keluarga yang masih hidup. Kesemua anggota keluarga yang terbunuh dalam kategori ini ialah seramai 7,941 orang syuhada’.
Hari ini 21 Disember 2024, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan jumlah warga Gaza yang sehingga kini ialah seramai 45,227 syuhada’ tidak termasuk lebih 11,000 orang yang hilang atau yang gagal diselamatkan jenazah mereka.
Manakala 107,573 orang dilaporkan cedera.
Kempen keganasan Israel yang masuk hari yang ke 440 ini telah menggunakan 88,000 tan bahan letupan untuk memusnahkan Gaza dan membunuh penduduknya.
ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 21/12/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.













