
MADRID: Kerajaan berhaluan kiri Sepanyol pada Khamis menyatakan hasratnya untuk memastikan kantin sekolah hanya menyediakan air tanpa gula sebagai minuman dan melarang minuman bergula sebagai langkah baharu menangani masalah obesiti kanak-kanak.
Kementerian Hak Pengguna menerusi laman X memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyediakan undang-undang yang mencadangkan pengambilan harian buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta hanya menyediakan air sebagai minuman semasa waktu makan.
Laporan terkini mendapati bilangan kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun yang berlebihan berat badan semakin berkurang di Sepanyol.
Namun, ia masih tinggi dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh banyak negara maju.
Pelajar daripada golongan ini turut dilihat cenderung mengambil lebih banyak minuman bergula dan kurang makan buah-buahan serta sayur-sayuran segar.
Menurut laporan itu juga, sekitar separuh daripada kanak-kanak yang dikaji biasanya bersarapan dan memakan sajian utama mereka di sekolah.
“Di dalam demokrasi dan ekonomi maju seperti Sepanyol, pemakanan dan kesihatan kanak-kanak tidak seharusnya bergantung pada tempat mereka dilahirkan,” kata Menteri Hak Pengguna, Pablo Bustinduy. – Agensi / HARAKAHDAILY 21/12/2024











