Memorandum Perkasa bantah jual saham MAHB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu memorandum akan dihantar kepada pihak berkepentingan di dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membantah penjualan saham syarikat itu ke syarikat pelaburan asing, Blackrock.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, antara pihak yang terlibat adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Ini semua kita akan hantar depan pintu. Kita akan hantar dengan beberapa ratus orang yang akan turut serta. Kita pergi untuk serah memorandum sahaja, bukan untuk berhimpun.

“Tapi kalau ada orang yang nak ikut, itu terpulang. Tapi kita nak serahkan sebelum 25 Disember ini,” katanya selepas sesi sidang meja bulat tergempar yang melibatkan sebanyak 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis.

Tarikh berkenaan dipilih selepas pihaknya difahamkan bahawa tarikh penjualan saham MAHB kepada syarikat asing itu akan dilakukan sebelum 25 Disember ini.

Beliau dalam pada itu turut memberi amaran kepada tiga pihak berkepentingan itu untuk tidak meneruskan penjualan saham tersebut.

“PNB, KWSP, ingatlah. Banyak perkara-perkara yang telah dibuat merugikan negara, pelaburan-pelaburan yang tidak berapa menjadi sehingga sekarang ini.

“Apakah nak cari duit semula terpaksa jual kepentingan (negara) kepada bangsa asing? Isu-isu membabitkan beberapa syarikat yang pernah diberi geran, semuanya tak menjadi.

“Tolong betulkan management, betulkan tindakan-tindakan melabur. Jangan jual saham yang ada semua dalam agensi-agensi yang kamu terajui,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -