‘Amat melucukan, apakah tiada orang lain lebih layak?’

- Advertisement -

KANGAR: Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai Penasihat Kepengerusian ASEAN oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat.

- Advertisement -

Langkah tersebut dianggap kontroversi memandangkan latar belakang Thaksin yang penuh dengan isu besar, termasuk tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta pelanggaran hak asasi manusia sepanjang tempoh memimpin Thailand dari tahun 2001 hingga 2006.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menyifatkan pelantikan ini sebagai tidak selari dengan prinsip ketelusan dan integriti yang seharusnya menjadi tunjang kepada pentadbiran baik.

Menurut beliau, keputusan tersebut menimbulkan persoalan sama ada tiada individu lain yang lebih layak dilantik untuk jawatan itu.

“Bagi saya, amat melucukan apakah tiada orang lain yang lebih layak dilantik sebagai penasihat? Kita tahu rekod Thaksin itu sendiri, yang pernah terlibat dengan banyak kes.

“Walaupun dianggap bersih sekarang ini, masih ramai individu lain yang tidak pernah terlibat dengan sebarang kontroversi, tetapi mempunyai kepakaran untuk dilantik ke jawatan itu.

“Entahlah, apa perkiraan Perdana Menteri ke-10 (PMX) dalam hal ini,” katanya.

Latar belakang kontroversi Thaksin

Walaupun pentadbirannya turut mencatatkan pelbagai kejayaan, terutama melalui dasar populis yang berjaya mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar, ia turut dibayangi oleh kontroversi besar.

Sepanjang tempoh pentadbirannya, Thaksin berhadapan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk didakwa memanfaatkan kedudukannya untuk menguntungkan empayar perniagaannya, seperti dalam kes penjualan saham Shin Corporation.

Dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkannya, lebih 2,500 kematian dicatatkan, kebanyakannya tanpa melalui proses undang-undang yang sah dan tindakan ini mendapat kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa.

Tambahan pula, insiden Tak Bai yang berlaku di wilayah selatan Thailand pada 2004, di mana 85 penunjuk perasaan maut akibat kekerasan pihak berkuasa, telah meninggalkan kesan mendalam terhadap reputasi beliau.

Rampasan kuasa pada tahun 2006, yang menggulingkan Thaksin daripada tampuk kuasa, turut berkait dengan tuduhan bahawa beliau cuba melemahkan institusi monarki Thailand, sekali gus menimbulkan konflik politik yang berpanjangan.

Implikasi kepada Malaysia

Pelantikan Thaksin sebagai penasihat menimbulkan persoalan sama ada Malaysia bersedia menerima individu yang mempunyai rekod kontroversial sebagai rujukan dalam urusan pentadbiran negara.

Keputusan ini, menurut banyak pihak, boleh mencemarkan prinsip ketelusan dan integriti menjadi asas kepada sebuah pentadbiran yang berwibawa.

Dato’ Seri Anwar perlu memberi penjelasan yang jelas mengenai rasional di sebalik pelantikan tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pentadbiran beliau.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keadilan, ketelusan, dan integriti, tindakan ini memerlukan justifikasi yang kukuh untuk meredakan kebimbangan masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -