Perjuangan perlu didukung dengan prinsip yang jelas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangan berlandaskan prinsip yang jelas adalah asas utama bagi memastikan perjuangan tersebut teguh, dihormati, dan tidak terpesong daripada matlamat asal.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menjelaskan, bahawa prinsip yang jelas adalah kunci untuk menentukan hala tuju perjuangan.

- Advertisement -

Terutama katanya, dalam konteks perjuangan Islam yang perlu berlandaskan nilai-nilai murni seperti kejujuran, kesederhanaan, dan rahmat untuk semua.

“Apabila perjuangan itu ada prinsip yang jelas, maka hala tuju kita tidak akan terpesong. Prinsip adalah asas yang memastikan setiap tindakan kita berpaksikan kebenaran, keadilan, dan matlamat yang baik,” katanya.

Hanif menegaskan bahawa tanpa prinsip, perjuangan mudah tergelincir menjadi alat untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu, bukannya untuk kebaikan bersama.

Oleh itu katanya, prinsip kukuh membezakan perjuangan yang ikhlas daripada sekadar slogan kosong.

Dalam pada itu, Ustaz Hanif turut menggariskan kepentingan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ (BPMS) yang mana ciri pertama perlu diterapkan adalah politik bertunjangkan prinsip.

Menurut beliau, budaya politik itu menekankan agar pendirian, sikap, dan tindakan setiap individu dalam politik sentiasa berasaskan kepada prinsip yang jelas, seiring dengan ajaran syarak.

“Membudayakan pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip bukan berdasarkan spekulasi.

“Budaya perbahasan politik dan lain-lain berasaskan prinsip masing-masing yang lebih objektif berbanding spekulasi yang agak subjektif, maka perbezaan pandangan lebih mudah ditangani,” ujarnya.

Hanif juga menekankan pentingnya meningkatkan pendidikan politik di kalangan rakyat.

“Membezakan antara kerajaan dan parti pemerintah. Membezakan antara pendirian peribadi dan pendirian organisasi.

“Meletakkan parti pembangkang sebagai parti bukan pemerintah yang turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa individu yang berpegang pada prinsip akan sentiasa dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat, kerana prinsip mencerminkan integriti dan keteguhan jiwa seseorang. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -