Terengganu fokus perluas peluang kerjaya sektor O&G

Ariffin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Anak muda Terengganu bakal menikmati peluang kerjaya baharu dalam sektor minyak dan gas (O&G) hasil inisiatif kerajaan negeri yang terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkualiti dalam industri strategik itu. 

- Advertisement -

Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) telah membincangkan kerjasama strategik bagi menubuhkan Jawatankuasa Pekerjaan dalam Sektor Minyak dan Gas Negeri Terengganu menerusi satu mesyuarat yang berlangsung hari ini.

Ia diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman, serta Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).

Menurut Ariffin, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk merancakkan peluang pekerjaan dalam sektor minyak dan gas yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri.

“Kami yakin jawatankuasa ini dapat membuka laluan kepada pembangunan modal insan yang lebih kompeten dalam industri strategik ini.

“Fokus utama adalah memastikan anak-anak Terengganu mendapat peluang pekerjaan berkualiti melalui program latihan dan pembangunan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut menunjukkan hasil yang positif dan akan diteruskan ke peringkat pelaksanaan selepas kajian dan perancangan terperinci dibuat.

Sementara itu, wakil INSTEP memberi sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut dengan menawarkan program latihan kemahiran tinggi untuk memastikan graduan tempatan bersedia menghadapi cabaran industri minyak dan gas yang kompetitif.

Menurut THRDC, inisiatif itu turut melibatkan kerjasama agensi-agensi berkaitan untuk memastikan peluang pekerjaan yang ditawarkan selari dengan keperluan semasa pasaran kerja.

“Rakyat Terengganu digesa untuk terus menyokong dan mendoakan agar usaha ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Kejayaan inisiatif ini bakal membawa impak besar terhadap pembangunan sosioekonomi negeri dan memberi manfaat kepada generasi muda yang bakal memasuki pasaran pekerjaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2024

- Advertisement -