Pelantikan Thaksin bertentangan objektif ASEAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa jawapan tuntas daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat kepada Kepengerusian ASEAN.

Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, segala kekejaman dan sifat diktatornya itu bukan sahaja akan mencemarkan nama baik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bahkan bertentangan dengan salah satu objektif ASEAN, iaitu menjamin keamanan dan keselamatan negara serantau.

“Pemuda PAS Malaysia mempersoal pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, hal itu kerana Thaksin merupakan individu yang terpalit dengan pelbagai kontroversi dalam arena politik Thailand.

Beliau mendedahkan antaranya adalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah, penindasan terhadap kebebasan media, melancarkan perang terhadap dadah sehingga menyebabkan seramai lebih 2,500 orang mati dan gagal menangani konflik selatan Thailand secara diplomasi sehingga tercetusnya insiden berdarah Tak Bai (2004).

“Semua peristiwa tersebut menunjukkan bahawa Thaksin adalah seorang pemimpin yang diktator, tidak boleh berdiplomasi, terpalit dengan kes salah guna kuasa dan rasuah dan dilihat gagal dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negaranya sendiri,” ujarnya.

Berdasarkan daripada rekod buruk tersebut, Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu mempersoalkan justifikasi terhadap pelantikan Thaksin sebagai penasihat kepada Kepengerusian ASEAN itu.

Beliau juga mempersoalkan ketiadaan diplomat atau pakar lain yang boleh menjadi penasihat tersebut dari Malaysia ataupun negara ASEAN yang lain. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -