
KUALA KEDAH: Cakna kepada masalah penduduk, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari turun padang memastikan sumbangan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri, sampai kepada sasaran.
Antaranya membaiki rumah yang bumbungnya bocor dan tidak selesa didiami terutama musim hujan seperti dialami pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU), Saad@Yusuf Kasa dan Rokiah Sapei di Kampung Kuala Sala, di sini.
Kata Mardhiyyah, sumbangan tunai baiki rumah melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau digunakan untuk membaiki rumah pasangan cacat penglihatan itu dan dibuat secara bergotong-royong.
“Alhamdulillah, bumbung rumah dah tak bocor. Lega saya melihatnya, pakcik dan makcik ini pun dapat tinggal dengan selesa,” katanya.
Tidak sekadar itu sahaja, malah pada kunjungannya ke rumah pasangan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai, Beras Sejahtera dan pek barangan keperluan harian.
Dalam masa sama, Mardhiyyah juga hadir ke rumah Siti Asyikin Saad, ibu tunggal yang baharu sahaja kematian suami itu, tetapi kediamannya sempat dibaiki ketika arwah suaminya masih hidup, di Kampung Tepi Laut, Tebengau, di sini.
“Arwah suaminya, baharu sahaja hadir menerima sumbangan baiki rumah semasa majlis sumbangan di Tebengau. Bumbung rumah sempat dibaiki, Alhamdulillah.
“Namun Allah lebih menyayangi, suaminya dijemput Ilahi baru-baru ini kerana serangan jantung,” kata beliau lagi.
Ashikin yang mempunyai empat anak itu, turut dinasihat Mardhiyyah agar memastikan pengajian anak-anaknya tidak dihentikan di tengah jalan walaupun sudah ketiadaan suami.
“Kalau nak sambung belajar, beritahu kami. InsyaAllah kami bantu,” nasihat dititipkannya agar anak sulung keluarga itu yang berumur 18 tahun menyambung pengajian.
Pada kunjungannya kerumah tersebut, beliau turut menyampaian sumbangan Beras Sejahtera dan pek barangan keperluan harian serta sedikit wang tunai. – HARAKAHDAILY 18/12/2024












