
KOTA KINABALU: Semua pihak perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang bagi memastikan tidak ada tolak ansur dalam pelaksanaan undang-undang demi kepentingan mana-mana individu atau kumpulan.
Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain berkata, prinsip itu perlu dijunjung oleh semua pihak, termasuk institusi kehakiman dan badan penguatkuasa undang-undang, bagi memelihara integriti sistem keadilan serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
Sehubungan itu, katanya penarikan rayuan terhadap kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) mencetuskan kebimbangan serius terhadap prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini.
“PAS Sabah berpandangan bahawa prinsip kedaulatan undang perlu menjamin bahawa semua individu, tanpa mengira jawatan atau pangkat, adalah tertakluk kepada undang-undang yang sama,” katanya dalam kenyataan di media sosial, semalam.
Mustaman berkata, keputusan berhubung kes rasuah Timbalan Perdana Menteri menimbulkan persoalan besar, sama ada prinsip itu masih dihormati atau dibakulsampahkan.
Selain itu, katanya kedaulatan undang-undang adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan tindakan menarik balik rayuan dalam kes berprofil tinggi berisiko mencemarkan persepsi awam terhadap keadilan dan ketelusan.
“Perkara ini juga memperlihatkan kelemahan usaha negara memerangi rasuah secara menyeluruh. Penarikan rayuan itu bukan sahaja mencabar integriti sistem kehakiman, malah dilihat sebagai pengabaian tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan mereka yang berkuasa tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan bahawa keputusan itu juga membuka ruang kepada spekulasi dan dakwaan bahawa wujud campur tangan politik dalam proses undang-undang.
Malah, katanya PAS Sabah melihat sebagai sebuah negara yang mendukung demokrasi serta kedaulatan undang-undang, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi dilakukan tanpa sebarang keraguan atau memilih bulu.
Katanya, keputusan itu jelas menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa.
“PAS Sabah juga percaya keputusan Peguam Negara menimbulkan persoalan tentang integriti dan kebebasan institusi kehakiman. Rakyat mula meragui ketelusan dan kebebasan badan kehakiman dalam menjalankan tugas apabila keputusan penting seperti itu dikhuatiri dipengaruhi oleh faktor-faktor lain.
Beliau berkata, PAS Sabah mendesak AGC memberikan penjelasan yang telus mengenai keputusan itu kerana rakyat berhak mengetahui alasan di sebalik penarikan balik rayuan itu. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











