
SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menzahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pihaknya melihat tindakan itu sebagai satu langkah yang tidak wajar dan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.
“Thaksin merupakan tokoh yang terpalit dengan pelbagai kontroversi, termasuk tuduhan salah guna kuasa dan rasuah. Beliau juga pernah dijatuhi hukuman penjara di negaranya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Thaksin menurut Wan Hasrina, turut menimbulkan persoalan serius mengenai kriteria dan justifikasi yang digunakan dalam pemilihan penasihat.
“Apakah kepakaran dan sumbangan yang boleh diberikan oleh Thaksin kepada Kepengerusian ASEAN 2025?” persoal beliau.
Timbalan Ketua Wanita Perikatan Nasional Selangor itu berpandangan Malaysia seharusnya memilih tokoh yang bersih dan berintegriti untuk memegang jawatan penting seperti penasihat kepada Pengerusi ASEAN.
Beliau menyeru Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula pelantikan Thaksin dan memilih tokoh yang lebih layak dan berwibawa untuk memegang jawatan tersebut. – HARAKAHDAILY 17/12/2024











