Subsidi: MP Jerantut cadang Sidang Khas Parlimen

Tangani isu subsidi tenaga, diesel dan RON95

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mencadangkan Sidang Khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu subsidi tenaga, termasuk diesel dan petrol RON95.

Menurut Ahli Parlimen Jerantut itu, mekanisme terbaik menangani isu yang kini membebankan kewangan negara dengan subsidi tenaga telah mengambil lebih RM80 bilion daripada perbelanjaan negara perlu dibincangkan.

“Jadi pastinya di sana walaupun berlakunya penyelarasan subsidi yang kita setuju, (tetapi) kita kena fikir dari sudut mekanisma yang terbaik untuk rakyat.

“Dan mekanisma ini boleh dibuat secara ‘one whole nation approach’, dia bukannya satu kementerian, dia akan melibatkan semua jentera kerajaan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Bangi baru-baru ini.

Beliau menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan dan pembangkang bagi memastikan solusi yang mewakili kepentingan rakyat.

“Saya cadangkan kepada pihak kerajaan oleh kerana perkara ini penting, amat penting. Saya cadangkan supaya kerajaan mengadakan satu sidang khas untuk Parlimen, ambil seminggu, kita bincang ni saja.

”Kita bawa kepada jawatankuasa yang terbabit sebab dekat Parlimen kita ada sembilan jawatankuasa. Mana jawatankuasa yang terbabit dalam perkara ini, pastikan mereka bersidang, detail kan dari sudut mekanisme pelaksanaan.

“Kemudiannya bawa apa yang telah dibincangkan oleh jawatankuasa. Drafkan, bawa masuk dalam Parlimen supaya kita detail out. Jadi bagi masa dan ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk berbahas,” katanya. 

Khairil Nizam turut menjelaskan, isu subsidi tenaga seperti RON95 memberi impak besar kepada lebih 80 peratus rakyat Malaysia.

Oleh itu menurutnya, perbahasan menyeluruh amat penting bagi memastikan keputusan yang diambil benar-benar menjaga kebajikan rakyat. 

So maknanya itu isu rakyat yang besar. Instead of kita buat kamar khas yang masa limited, kita buat mesyuarat khas. Bukan kamar khas, mesyuarat khas parlimen.

“Ambil lima hari bekerja, daripada Isnin sampai Khamis ataupun dua minggu. Isnin sampai Khamis, lapan hari bersidang, bincang perkara ini sahaja.

“Dan barulah kita dapat satu mekanisme pelaksanaan yang dikatakan mewakili rakyat sebab ia telah dibincang dengan secara tuntas oleh kerajaan dan pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -
- Advertisement -