
HULU SELANGOR: Telefon bimbit boleh merosakkan minda anak-anak sekiranya penggunaan peranti itu tidak dikawal dengan sebaik mungkin.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun berkata, ibu bapa tidak seharusnya memberikan anak-anak mereka menggunakan peranti itu sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Saya nak mengingatkan bahawa jangan terlalu mudah untuk menyelesaikan masalah kita, ibu ayah, kita menyerahkan bulat-bulat kepada anak-anak kita untuk mendiamkan mereka. Jangan.
“Telefon ini boleh merosakkan mata anak-anak. Berapa ramai pelajar-pelajar yang baru darjah satu, dah pakai cermin mata tebal? Ini ingatan saya.
“Kedua, sekarang ini kalau di rumah kita ada internet, macam-macam info dia boleh buka walaupun budak-budak,” katanya menerusi satu hantaran.
Beliau dalam pada itu meluahkan rasa terkejut dengan maklumat yang diperoleh berkenaan kelakuan tidak senonoh dilakukan oleh kanak-kanak berusia lima tahun.
“Baru-baru ini kami Ahli Parlimen, dipanggil satu RUU (Rang Undang-Undang), dan dalam RUU itu, apa yang mengejutkan saya, budak lima tahun buat benda tak senonoh.
“Sebab apa? Ini yang saya kata terdedah dengan benda bukan-bukan. Ia dibentangkan oleh polis, mereka tidak tapis. Ia dibentangkan oleh kami kerana mereka nak kami tahu bahawa inilah yang sedang berlaku di seluruh Malaysia sekarang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024











