
KANGAR: Sebanyak 200 pokok bakau terdiri daripada spesis Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) dan Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) berjaya ditanam di pesisiran pantai Hutan Simpan Pulau Ketam, Kuala Perlis, di sini.
Program tanggungjawab sosial (CSR) ini melibatkan pelajar dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, semalam.
Pemangku Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Alumni, Dr Mohd Aizul Yaakob berkata, program itu diadakan untuk membantu usaha pencegahan hakisan pantai dan memelihara keseimbangan ekosistem.
Tambah beliau, ia turut bertujuan memupuk semangat kerjasama dan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan staf universiti.
“Penyertaan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) bersama Jabatan Pendaftar ini diharapkan dapat menyumbang kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat kebangsaan yang menyasarkan penanaman sejuta pokok menjelang 2025,” ujarnya.
Program ini turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni, Pendaftar UniSIRAJ, Noor Azman Yusof dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Mohd Hanif Mohammadan, bersama pegawai serta pelajar universiti.
Sementara itu, Dr Mohd Aizul bersama barisan kepimpinan universiti dan Jabatan Perhutanan turut mengetuai sesi penanaman pokok bakau sempena program tersebut.
Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memelihara kawasan persisiran pantai negeri Perlis.
Pokok bakau bukan sahaja berperanan mencegah hakisan pantai, malah menjadi sumber nutrien kepada tumbuhan, habitat penting kepada hidupan akuatik, dan aset utama kepada komuniti nelayan tempatan. – HARAKAHDAILY 17/12/2024













