PAS sifatkan kos Haji 2025 dinaikkan TH tidak wajar

Kembalikan peranan TH sebagai tabung pelaburan umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Tabung Haji (TH) supaya menarik balik keputusannya untuk menaikkan kos haji pada 2025, sekali gus mendesak kerajaan agar mengkaji semula dasar pelaburan semasa TH.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bagi membolehkannya menjalankan peranan sebagai tabung pelaburan umat Islam yang menguntungkan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menegaskan, TH juga penting menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, iaitu peranan yang dimainkannya sejak ditubuhkan pada 1963.

Beliau berkata, PAS juga mendapati pemakluman terbaru kerajaan berhubung kenaikan hingga 20 peratus dalam kos ibadah haji pada 2025 adalah tidak wajar, tidak kena masa dan akan menjadi beban besar.

Terutama menurutnya, ke atas kemampuan rakyat golongan berpendapatan rendah dan sederhana apabila bermula musim haji tahun depan, bakal jemaah kali pertama Kumpulan B40 perlu membayar sebanyak RM15,000 seorang berbanding RM12,356 pada 2024.

Menurutnya, itu susulan kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman yang mengumumkan perkara tersebut semalam.

“Bagi Kumpulan M40 pula, mereka perlu membayar sebanyak RM23,500 berbanding RM19,152 pada tahun ini, manakala kos haji bagi Kumpulan T20/Muassasah kekal RM33,300 seorang.

“Kenyataan Syed Hamadah bahawa kenaikan kos ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj khidmat di Tanah Suci yang mewakili hingga 87 peratus jumlah kos haji,” ujarnya.

Menurut Takiyuddin, PAS merasakan ia bukanlah suatu keadaan yang mendesak bagi Tabung Haji dan kerajaan untuk mengambil langkah sebegini.

Beliau tidak menafikan isu kenaikan kos yang dihadapi, namun beliau berkata PAS percaya isu lebih besar dan perlu diutamakan ialah kesan kenaikan kos itu ke atas kemampuan umat Islam yang mahu menunaikan haji.

Terutama sekali katanya, dengan tekanan ekonomi semasa termasuk dari segi peningkatan kos sara hidup, harga barangan keperluan dan peluang pekerjaan yang terhad.

“Harus juga diingat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos menunaikan haji telah meningkat secara berterusan, iaitu sebanyak
RM10,980 pada 2022 dan RM12,356 pada 2024.

“Berbanding tahun-tahun sebelumnya yang menyaksikan kos haji berada bawah paras RM10,000 seorang. Selain pertimbangan beban kewangan yang akan dihadapi oleh bakal jemaah, dasar semasa TH berkait peranan dan tujuan penubuhannya perlu diteliti semula.

“(Ini) berikutan kesannya ke atas kemampuan institusi tersebut untuk terus memberi kemudahan terbaik kepada rakyat untuk ke Tanah Suci, baik dari segi mutu perkhidmatan mahupun kos yang boleh dicapai oleh semua golongan,” jelasnya.

Menurutnya, antara peranan asas TH adalah sebagai tabung awam bagi membolehkan umat Islam atau pendeposit menyertai pelaburan dalam industri, perdagangan, perladangan, hartanah dan sebagainya.

Selain TH juga katanya, sebagai sumber pendapatan dan keuntungan selamat dan bebas riba, sekali gus membolehkan TH menampung apa-apa kenaikan kos yang berlaku.

“Dasar yang mengehadkan aktiviti TH kepada pengendalian urusan haji dan pelaburan dalam aset simpanan tetap semata-mata susulan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“(Ia) dipercayai menjadi penyumbang utama kepada ketidakmampuan tabung berkenaan menjana keuntungan yang munasabah bagi mengekalkan kos haji pada paras yang lebih rendah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/12/2024

- Advertisement -