
KEPALA BATAS: Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan perkembangan terkini pertuduhan 40 kes rasuah Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan sistem visa luar negara (VLN) sebagai mengecewakan rakyat.
Menurut beliau, keputusan atau tindakan menarik balik rayuan daripada meneruskan kes tersebut melibatkan pendakwa raya, mahkamah dan Jabatan Peguam Negara itu dilihat mencalar kedaulatan sistem perundangan negara.
“Keputusan ini juga menimbulkan persoalan berkaitan komitmen kerajaan terutamanya Perdana Menteri terhadap usaha memerangi rasuah. Adakah wujud dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang jika membabitkan pemimpin tinggi negara?
“Atau adakah keputusan ini dibuat secara bebas tanpa campur tangan politik atau dipengaruhi oleh pihak tertentu yang berkepentingan?” soal beliau pada kenyataannya, semalam.
Tegas Fauzi, PAS negeri itu teguh memegang prinsip pemerintahan Islam yang menjunjung tinggi keadilan dan integriti dalam pemerintahan.
Oleh itu, pihaknya mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memberikan penjelasan kerana perkara itu melibatkan prinsip keadilan dan ketelusan undang-undang negara.
Selain itu katanya, keputusan penarikan balik rayuan terhadap keputusan melibatkan kes berprofil tinggi itu telah mencetuskan kerisauan, apatah lagi sekiranya wujud campur tangan luar yang mempengaruhi keputusan mahkamah.
“Jika melibatkan elemen politik dan sebarang usaha untuk mengganggu proses undang-undang sepatutnya dihindari kerana ia boleh menjejaskan persepsi awam serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
“Keputusan ini juga berpotensi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman terutama melibatkan individu terpengaruh,” tambah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu lagi.
Beliau menambah, emosi kepercayaan awam akan menyebabkan ketidakstabilan sosial kerana ia menggugat prinsip Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.
Mengulas lanjut katanya, rakyat berhak mengetahui asas keputusan penarikan balik rayuan itu dan siapa yang bertanggungjawab berkenaan hal tersebut.
Beliau juga menegaskan, pihak Jabatan Peguam Negara perlu memberi penjelasan mengenai representasi yang dikemukakan oleh Presiden Umno itu sehingga menatijahkan keputusan tersebut.
“Tanpa jawapan yang jelas, integriti sistem keadilan akan terus dipersoalkan. Sewajarnya, Kerajaan Madani memberi komitmen untuk terus komited menangani rasuah.
“(Kerajaan juga mesti) melaksanakan dasar serta polisi yang menguntungkan rakyat sepertimana kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini,” kata beliau lagi.
Justeru tegasnya, PAS Pulau Pinang menyeru pihak kerajaan untuk memperkukuh dan mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha memerangi rasuah.
Sementara katanya, keputusan penarikan balik rayuan itu dilihat sebagai ketidakupayaan dalam menjaga kebebasan perundangan dan mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Semua pihak diseru untuk menuntut keadilan dan memastikan prinsip integriti institusi kehakiman negara melalui penjelasan yang tuntas oleh pihak-pihak berkenaan terutamanya Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Tanpa penjelasan yang meyakinkan, ia hanya akan memperkukuhkan spekulasi bahawa wujudnya korupsi dalam perundangan negara dengan keputusan berat sebelah dan memberi keistimewaan kepada golongan berkepentingan sahaja,” katanya lagi.
Perkara itu ujar Fauzi, amat penting dalam menjaga kesejahteraan sejagat dan kedaulatan negara. – HARAKAHDAILY 16/12/2024











