
TAWAU: Seluruh anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap keputusan menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) berhubung kehilangan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018.
Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, berkata keputusan itu dibuat secara bersama dan bukan hanya Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, keputusan itu disepakati oleh 13 anggota Kabinet yang menghadiri mesyuarat dan adalah wajar mereka bertanggungjawab terhadap perkara itu.
“Percubaan menghukum Tun Dr Mahathir seorang diri melanggar prinsip tanggungjawab bersama yang sepatutnya dijunjung oleh Kabinet,” katanya dalam kenyataan media di laman sosialnya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Tun Dr Mahathir.
Prosiding diusulkan itu selepas Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura apabila Kabinet yang diketuai Tun Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ pada 2018.
Sementara itu, Mustaman mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan parlimen untuk membalas dendam politik.
“Usul RCI Batu Putih mencerminkan agenda politik dendam kerajaan terhadap Tun Dr Mahathir kerana tindakan yang mensasarkan beliau seorang diri.
“Tindakan menggunakan institusi Parlimen untuk menyerang seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara juga mencemarkan nilai demokrasi dan prinsip keadilan,” katanya.
Bagaimanapun, usul itu yang dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen pada minggu lalu, berakhir tanpa sebarang keputusan apabila ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Pada masa sama, Mustaman mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Larut, Putrajaya dan Pasir Mas yang berhujah dengan tegas dan bernas.
Malah, katanya Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Puncak Borneo dari blok kerajaan menolak usul itu, sekali gus membuktikan usul itu tidak mendapat sokongan penuh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 15/12/2024











